Sandra Lim berkongsi bahawa dia mengambil keputusan untuk bertanding lagi di pentas ratu cantik adalah kerana perbualannya bersama Miss Universe Malaysia 2020, Francisca Luhong.
Perkara itu didedahkan sendiri oleh gadis berusia 23 tahun itu dalam satu hantaran di Instagram usai memenangi gelaran Miss Universe 2024 pada Jumaat lalu.
“You should totally join universe babe. Itu adalah ayat yang saya paling ingat dalam perbualan saya sebelum ini bersama ratu Francisca Luhong.
“Dia adalah salah satu sebab mengapa saya memikirkan semula untuk mencuba dan ini menunjukkan betapa kita harus mencipta suasana wanita saling menyokong antara satu sama lain.
“Satu ungkapan yang ringkas boleh mengubah kehidupan seseorang,” tulis graduan dalam jurusan Komunikasi itu.
BACA JUGA: Tepati Ramalan! Sandra Lim Dinobat Sebagai Miss Universe Malaysia 2024
Selain itu, Sandra turut menyatakan rasa kasih kepada Francisca dan bagaimana sahabatnya itu memberikan inspirasi serta semangat kepadanya untuk terus berjaya.
“Tidak cuba untuk buat anda menangis tapi saya sayang anda Ratu. Anda menginspirasikan saya dalam pelbagai cara dan saya akan selalu membawa semangat anda bersama saya,” sambungnya.
Sandra bukanlah asing dalam dunia ratu cantik. Sebelum menyertai Miss Universe Malaysia 2024 dia terlebih dahulu bergelar naib juara Miss Global 2022.
Gadis dengan ketinggian 175cm ini akan mewakili negara di pentas Miss Universe 2024 yang dijangka berlangsung November nanti di Mexico.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan