Bintang baru, Cash Farhan mengakui banyak mengambil inpirasi daripada penyanyi pujaannya, G-Dragon dalam muzik.
Kata pemilik nama lengkap Muhamad Asyrol Farhan Ahmad ini lagi, minat terhadap muzik mendoronya untuk terus merealisasikan impian sementelah mengikuti pengajian di Korea Selatan sejak lebih dua tahun lalu.
“Saya sambung pengajian di Seoul lebih dua tahun dan pada masa sama banyak bergaul dengan warga tempatan di sana.
“Malah saya juga pernah jalani uji bakat di Korea juga, jadi minat itu diteruskan bila pulang ke Malaysia,” jelasnya jujur.
Ditanya siapakah penyanyi yang dijadikan sebagai sumber inspirasi, pemuda berusia 23 tahun ini mengakui anggota kumpulan BigBang, G-Dragon sebagai rujukan.
“Saya cukup kagumi G-Dragon meski ada yang sinikal terhadap gosip panas yang pernah melandanya. Apa pun, saya tidak melihat dari segi yang kurang enak mengenai sisi peribadi, tetapi saya lebih gemar untuk mengenai perjalanan muziknya.
“Misalnya dia juga merupakan seorang penerbit dan dia tahu muzik apa yang sesuai seiring cita rasa para peminat.
“Malah dia juga bijak bergaya dan saya sendiri turut meminati fesyen,” jelasnya yang kini melakukan percubaan awal dengan mempertaruhkan single sulung, Trust.
Berkonsepkan fushion pop yang mempuyai elemen dance, Trust menjadi ciptaan bersama Ewal Ismail dan lirik hasil tulisannya sendiri. Lebih menarik, Cash turut berkemampuan untuk bertutur dalam bahasa Korea dan Mandarin dengan baik.
“Saya seorang pelajar bahasa dan gemar untuk teroka perkara baru. Contohnya kalau ada yang pesimis terhadap usaha ini, saya tidak ambil pusing.
“Saya seorang positif. Saya tidak kisah dengan cakap-cakap orang. Setiap orang ada pandangan masing-masing. Janji saya puas dan ada yang berpuas hati dengan hasil kerja saya,” akhiri Cash optimis.
Terdahulu, Trust difahamkan berkisah mengenai kisah cintanya sendiri yang kecundang di tengah jalan kira-kira empat tahun lalu.
Video muzik rasmi Trust juga sudah dimuat naik di YouTube sejak penghujung Jun lalu.
Foto: Instagram Cash Farhan