Organisasi Miss Cosmo baru sahaja memilih pemenang sulung pertandingan tersebut apabila Ketut Permata Juliastrid, gadis asal Bali dari Indonesia dinobatkan sebagai Miss Cosmo 2024.
Si cantik berusia 24 tahun itu berjaya mengalahkan 57 lagi peserta lain yang datang dari pelbagai negara yang turut bertanding untuk merebut gelaran tersebut.
Langkah untuk memenangi pertandingan ini bukanlah mudah. Daripada 58 peserta keseluruhan, hanya 21 peserta sahaja yang mara ke pusingan separuh akhir sebelum 10 peserta dipilih untuk ke peringkat seterusnya.
Kemudian, daripada 10 peserta hanya lima peserta sahaja yang dipilih oleh juri profesional untuk mara ke pusingan soal jawab.
Tidak terhenti di situ, dua peserta akhir pula harus berdebat mengenai projek hijau masing-masing sebelum juara dipilih secara mutlak berdasarkan hujah yang diberikan.
Berdiri bersama Ketut Permata Juliastrid sebagai peserta top 2 adalah wakil Thailand, Karnruethai Tassabut yang akur berpuas hati bergelar naib juara. Melengkapkan barisan lima peserta terbaik adalah peserta dari Vietnam, Peru dan Amerika Syarikat
Semasa bahagian soal jawab, Juliastrid bercakap tentang advokasinya, iaitu pelancongan mampan.
“Saya cuba mengekalkan budaya, kerana saya percaya budaya adalah aspek penting agar kita menjadi diri kita yang sebenarnya. Membesar di Bali, saya dikelilingi dengan budaya tradisional.
“Ia menjadikan saya wanita seperti sekarang, dan saya bekerja dengan penggiat seni tempatan, bukan sahaja memberi peluang ekonomi, tetapi juga memberi mereka platform untuk generasi muda berbangga dengan budaya mereka sendiri, seperti bagaimana saya berbangga dengan budaya saya sendiri.
“Saya akan terus mengatakannya Saya orang Bali yang bangga, saya orang Indonesia yang bangga, dan saya di sini untuk membanggakan Indonesia hari ini,” ucapnya lancar.
Imbas kembali, Ketut Permata Juliastrid merupakan pemenang tempat ketiga Puteri Indonesia 2024 sekaligus memegang gelaran Puteri Indonesia Pariwisata 2024.
Wakil Malaysia, Saranya Naidu terpaksa pulang tangan kosong apabila gagal untuk mara sebagai peserta separuh akhir.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI