Konsert ketujuh program realiti Big Stage 2019 telah melabuhkan tirainya di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam sebentar tadi, menyaksikan tujuh peserta berentap bagi meloloskan diri ke pentas akhir minggu hadapan.
Bagaimanapun harapan dua pesertanya, Fieya Julia dan Kucaimars tersekat di peringkat separuh akhir apabila nama mereka telah diumumkan tersingkir.
Hanya lima peserta iaitu Han Byul, Neeta, Adzrin, Irfan Haris dan Dinda Permata yang bakal mara ke Konsert Akhir Big Stage 2019 minggu hadapan.
Mengulas mengenai penyingkiran tersebut, Fieya yang menerima markah paling rendah iaitu 60.17 peratus reda dan terbuka atas keputusan tersebut.
“Jujurnya saya sendiri tak sangka boleh mara hingga ke semi final. Bagi saya, sudah rasa bersyukur apabila berjaya mara hingga ke peringkat ini.
“Saya bukanlah sudah boleh agak akan terkeluar, akan tetap sejak beberapa minggu lalu saya sering berada di kedudukan tiga terbawah saja. Jadi saya reda kalau tersingkir.
“Sebab Big Stage ini lebih besar skopnya, iaitu untuk memperkenalkan penyanyi baru seperti saya. Saya syukur bila raih peluang ini,” katanya kepada MH.
Ditanya sama ada dirinya rasa kecewa kerana penyertaannya untuk selangkah ke final dinafikan, bintang muda asal Sarawak ini punya jawapan sendiri.
“Saya kecewa dengan diri sendiri juga sebenarnya kerana sejak kebelakangan ini, saya asyik tidak sihat. Saya sendiri tidak tahu apa masalahnya.
“Tapi mungkin kerana tidak cukup rehat. Ada masanya saya hanya ke klinik sahaja, masih tak punya peluang untuk ke hospital,” katanya yang tidak mahu menjadikan ia sebagai satu alasan.
Selain Fieya, Kucaimars juga tidak berjaya mara ke peringkat akhir apabila mendapat undian penonton terendah berbanding Irfan Haris yang turut berada di kedudukan ‘Bottom Three’.
Dalam pada itu, barisan finalis Big Stage 2019 bakal mempersembahkan dua persembahan iaitu Single Baharu dan Cover Final di malam kemuncaknya, minggu hadapan.
Dalam perkembangan lain, Fieya turut mempunyai single terbaru berjudul Jangan Gila.