[GAMBAR] Harris Alif Dan Intan Ladyana Sah Jadi Suami Isteri Dengan Sekali Lafaz, Sama Cantik Sama Padan!

Share

Sah terpateri, penyanyi dan hos, Harris Alif, 22, selamat diijab kabulkan dengan pasangannya pelakon, Intan Ladyana, 38, di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sekitar jam 10 pagi, hari ini dengan sekali lafaz.

Acara akad nikah pasangan berkenaan disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah dan juga wakil wali.

Turut hadir dan menyaksikan penyatuan Harris dan Intan ialah Pendaftar Nikah, Cerai, Ruju’ Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.

Pada majlis itu, Harris menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian.

Manakala barangan hantaran iaitu sembilan dulang daripada pihak pengantin perempuan berbalas tujuh dulang daripada pihak lelaki tidak dibawa bersama sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Mulanya memilih 6 Februari 2021 sebagai hari bahagia mereka, pasangan ini bagaimanapun memutuskan untuk menganjak tarikh sehari lebih awal daripada perancangan awal. Ia tidak lain disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berlangsung pada ketika ini.

Namun begitu, agenda pernikahan mereka tetap berjalan lancar seperti dirancang memandangkan perubahan tarikh itu sudah dimaklumkan kepada semua pihak terbabit. Semestinya, Harris dan Intan menarik nafas lega dapat dipersatukan secepat mungkin dalam tempoh PKP ini.

Pada majlis terbabit, kedua pasangan mempelai ini nyata berseri-seri menyarung busana daripada Hatta Dolmat dan Epul Senitravision. Mendapat sentuhan tatarias daripada Ian Sham dan Aqmal Adly, keduanya tidak lekang mengukir senyuman bahagia apabila akhirnya mahligai cinta diidamkan termakbul dan berakhir ke jenjang pelamin.

Untuk majlis bahagia pasangan ini, Harris dan Intan turut ditaja Four Points by Sheraton sebagai lokasi persiapan nikah, Bella Hudd (Penata Gaya Hijab), Cempaka Inai (Artis Inai), Fillea Studio (Fotografi dan Videografi), Haeja Budiman (Bunga Tangan), manakala Hantaran by Ally menyediakan dulang hantaran.

Pada 5 Januari lalu, pasangan ini mengumumkan berita gembira bakal disatukan dan bernikah selepas mula menyulam cinta sejak Mac tahun lalu. Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.

Menerusi sidang media itu juga, Harris mendedahkan majlis merisik Intan sudah dibuat pada Julai tahun lalu, sebulan selepas ulang tahun kelahiran Intan. Bagaimanapun, majlis itu dirahsiakan dan dengan pengumuman terbabit, maka terjawablah teka-teki mengenai status hubungan mereka ke fasa yang seterusnya.

Sementara, Intan berkongsi dari awal perkenalan, memang segalanya dipermudahkan buat mereka. Paling penting, keluarga kedua belah pihak pun sangat positif dan merestui hubungan mereka. Justeru, dia yakin mereka berada di landasan yang betul dan soal Harris masih terlalu muda menurutnya bukan isu besar.

Published by
MH