Lain daripada yang lain. Foto OOTD (outfit of the day) raya pelakon Nadhir Nasar yang memegang ais di hadapan sebuah kedai runcit menjadi tular baru-baru ini.
Susulan itu, ramai daripada kalangan peminatnya mula ‘meniru’ idea Nadhir, 27, dalam mencipta semula aksi OOTD sama seperti pelakon idola mereka itu.
Malah, seorang peminat Nadhir sempat bertemu dengan pemilik kedai runcit di mana gambar Nadhir diambil di kampung halamannya di Kuala Kangsar, Perak.
Menurut pemilik kedai itu, premisnya ‘diserbu’ gara-gara ramai orang ingin bergambar dengan satu beg ais seperti yang dilakukan Nadhir.
“Tiber apok (pemilik kedai) datang bawa ice bag. Nah you guna ambil gambar.
“Ramai orang oh ambil gambar pegang ais.. itu budak handsome punya fasal,” kongsi peminat Nadhir.
Nama Nadhir mula menjadi sebutan sejak kebelakangan ini selepas membintangi drama fenomena Projek: High Council yang baharu sahaja habis ditayangkan baru-baru ini.
Selain drama itu, juara Hero Remaja 2020 ini turut pernah membintangi beberapa siri lain yang menyerlahkan bakat lakonannya seperti Projek: Anchor SPM dan i-Tanggang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.