Berita

Ganti Ray & Hanif, Stesen Radio ERA Umum Haziq Dan Shasha Kendalikan Segmen Petang ERA

Share

Stesen radio Era mengumumkan gandingan baru Haziq dan Shasha bagi menggantikan tempat Ray dan Hanif yang bersiaran sekitar dua tahun menerusi segmen Petang Era.

Haziq namanya tidak asing lagi dalam industri penyiaran radio dan pengalamannya akan di guna pakai untuk mengendalikan segmen pilihan ramai itu.

Manakala Shasha pula ialah penyampai radio berwajah baru dan pernah menjadi hos media digital The Hardest Singing Show musim pertama, baru-baru ini.

Pengurus Saluran ERA, Azah Sahrin menjelaskan pemilihan Haziq dilihat wajar kerana dia memiliki pengalaman tersendiri dalam dunia penyiaran radio.

“Meskipun berehat seketika dalam dunia penyampaian radio sekitar hampir 3 tahun namun ia masa yang sesuai dilihat untuk kembali semula ke bidang diminatinya.

 “Cara penyampaiannya yang bersahaja dan mudah mesra dengan pendengar antara faktor Haziq dilamar untuk menjadi sebahagian keluarga besar ERA.

“Ia sekaligus dapat membawa pengaruh dan peminatnya untuk mendorong ERA kekal sebagai radio nombor 1 di Malaysia,” katanya, menerusi kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, ERA memilih Shasha untuk kendalikan Segmen Petang ERA pula kerana dia memiliki pakej lengkap untuk diketengahkan.

“Kerjayanya bermula di ERA hanya sebagai penyampai radio sambilan namun melihat ketekunan dan semangatnya dalam industri radio membuatkan ERA memilihnya.

“Shasha juga memiliki personaliti menawan dan mudah tersenyum setiap kali berinteraksi dengan pendengar ERA.

“Kedua-dua gandingan ini bakal menyaksikan Petang ERA akan lebih segar dan bertenaga untuk menarik pendengar ERA yang berusia sekitar 10 hingga 29 tahun,” katanya lagi.

Dengarkan Petang ERA setiap Isnin hingga Jumaat jam 4 petang hingga 8 malam.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH