Jika anda masih ingat, minggu lalu kecoh tentang gosip yang mendakwa penyanyi kelahiran program realiti Akademi Fantasia 2015, Syamel dikatakan telah mengambil alkohol ketika berkujung ke pusat hiburan.
Ibu bapa mana yang tidak sedih apabila anak mereka dikaitkan dengan gosip-gosip yang kurang enak untuk didengar sekali gus memberi ruang kepada masyarakat membuat spekulasi yang bukan-bukan terhadap anak mereka.
Menurut sumber, Syamel memberitahu disebabkan gosip tersebut dia telah dimarahi oleh ibu dan bapanya.
“Sejujurnya, gosip tersebut tidak mencalarkan atau menjejaskan imej saya sebagai penyanyi.
“Namun ibu dan ayah ada juga marah tapi disebabkan tajuk artikel tersebut. Macam orang yang malas nak baca, mereka akan fikir benda itu betul.
“Walaupun dalam artikel tersebut dah menjelaskan gosip itu tidak betul,” kata Syamel kepada mStar Online.
Walau bagaimanapun, Syamel tidak menyalahkan penulis yang menulis artikel tersebut kerana memahami bahawa itu adalah tugas seorang wartawan.
Cuma Syamel bekata, masalahnya adalah pada netizen yang hanya suka membaca tajuk sahaja tanpa membaca keseluruhan cerita dan kemudian membuat spekulasi sendiri.
“Tapi masalah netizen ini suka baca tajuk sahaja. Kemudian buat andaian sendiri.
Bagi Syamel, adalah menjadi satu kerugian kepada mereka yang hanya tahu menilai setiap perkara daripada luarannya sahaja.
Terdahulu, Syamel telah menafikan dakwaan yang mengatakan dia mengambil minuman keras semasa berkunjung di pusat hiburan.
Tegasnya, dia hanya ke pusat hiburan adalah atas tuntutan kerja sahaja dan dia mengakui bahawa dia memang berkunjung ke pusat hiburan tetapi ianya melibatkan persembahan nyanyian anjuran Astro.
Syamel memberitahu lagi, dia amat terkejut dengan berita dakwaan terhadapnya itu dan dia menganggap mungkin ada pihak yang ingin merosakkan mata pencariannya dengan mereka cerita yang tidak benar.
Sumber: Mstar Online