Pengacara dan usahawan, Nabil Mahir tidak menafikan dirinya selesa berkawan dengan Ayda Jebat yang kini sering dikaitkan kononnya mereka sedang jalin hubungan cinta.
Enggan nafi atau mengiyakan spekulasi, Nabil bagaimanapun menyifatkan hubungan yang terjalin tidak lebih dari hanya sekadar rakan baik, memandangkan mereka sudah saling mengenali sejak sekian lama.
“Kami sekarang berkawan dan tengah saling mengenali. Kalau ada yang cakap lebih daripada itu, saya tidak ada komen. Cuma buat masa ini, saya lebih senang untuk tidak memperbesarkan hal peribadi.
“Kami sudah kenal lama, cuma rapat boleh dikatakan sejak beberapa bulan lalu. Senang dan selesa berkawan dengannya,” katanya kepada MH.
Menjawab pertanyaan media mengenai video serta foto penyanyi lagu Temberang itu yang sering dikongsikanya menerusi media sosial, bekas hos program HLive ini menjelaskan, bukan hanya hal fasal Ayda yang kerap dikongsi.
“Kalau ada perasan, menerusi Instagram misalnya, apa yang saya buat adalah sama untuk rakan-rakan lain.
“Jadi tiada istilah saya melebihkan dia atau sesiapa. Semua sama saja,” akui Nabil yang turut memberi penjelasan mengenai komen ‘I love You’ yang pernah ditulisnya pada ruangan komen IG Ayda.
“Ya ia mencetuskan pertanyaan ramai, tapi sebenarnya kalau tengok menerusi kapsyen, Ayda cabar orang untuk katakan ‘i love you’. Jadi saya salah seorang yang ucapkannya. Kenapa orang lain tidak kena interview?,” soal Nabil.
Senang dengan sikap dan profesionalisme Ayda dalam kerjaya, Nabil juga mendedahkan dirinya kini mendapat lampu hijau dari keluarga untuk serius dalam dunia lakonan.
Terdahulu, bintang berusia 31 tahun ini ditemui pada Sidang Media Jalinan Kerjasama Antara Digital Content Connection (DCC) dan Ace Pictures di Palace of the Golden Horses, pada Selasa.
Dua syarikat berkenaan bergabung dalam menyediakan dana buat penerbit dan pengarah untuk bekerjasama bagi menjayakan apa sahaja projek perfileman.