Sebelum bergelar cef selebriti, nama penyanyi, Datuk Fazley Yaakob sememangnya tidak asing lagi di dalam industri seni tanah air sejak tahun awal 2000.
Malah, lagu-lagu hitsnya seperti Asmara Ini dan Bila April masih lagi menjadi siulan sehingga ke hari ini.
Baru-baru ini, namanya diumumkan sebagai salah seorang peserta yang akan bertanding di program realiti, Gegar Vaganza musim ke-8 (GV8).
Bercakap kepada MH, Fazley mendedahkan dia kini bersedia menerima sebarang kritikan daripada pihak juri profesional mahupun netizen.
Menurut Fazley, dia sebenarnya sudah terbiasa berhadapan dengan situasi tersebut memandangkan sebelum ini dia juga sering kali dijemput untuk menjadi juri bagi pelbagai program masakan.
“Sebelum ini saya pernah menjadi juri masakan serta nyanyian dalam dan luar negara. Bila saya mengkritik orang, saya sentiasa meletakkan diri saya di dalam ‘kasut’ mereka.
“Sekarang saya hanya tukar ‘topi’ sahaja. Kalau sebelum ini saya pakai topi sebagai juri masakan, kini saya jadi peserta program nyanyian pula. Saya memang mohon untuk dikritik.
“Saya dah lebih daripada bersedia. Jadi, kritiklah saya. Kerana kritikan itu merupakan satu semangat. Baik atau buruk kena terima sebagai pelajaran,” katanya kepada MH.
Katanya lagi, kritikan-kritikan ini secara tidak langsung akan menjadi ilmu baharu buat dirinya untuk dimanfaatkan pada masa akan datang.
“Walaupun saya dah lama bergelar insan seni, setiap kritikan adalah ilmu baru. Jadi kalau setiap minggu saya dikritik oleh juri profesional atau netizen, itu ilmu yang saya dambakan.
“Bila pengumuman peserta GV dibuat, ramai tanya kenapa saya membenarkan diri saya untuk dikritik? Gelaran Datuk itu tak boleh dibawa mati.
“Tapi saya mahu nama Fazley Yaakob sebagai Abang Asmara disemadikan dalam duni seni sebagai seorang yang pernah menyanyi. Kutukan dan kritikan itu lumrah,” ujarnya lagi.
“Saya sebenarnya masuk ke GV untuk ‘kahwinkan’ peminat saya. Bunyinya macam lucu. Saya ada peminat daripada bidang masakan dan pernah ada peminat dalam bidang nyanyian.
“Masih ada juga segelintir peminat saya dalam bidang nyanyian yang bertanya bila saya nak buat comeback? Jadi, dengan GV saya dapat satukan kedua-dua generasi peminat yang berbeza ini,” akhirinya.
Konsert mingguan GV8 akan mula berlangsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu pada setiap Ahad, jam 9 malam mulai 21 November 2021 ini dan disiarkan di saluran Astro Ria.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.