Sering kali ditawarkan watak antagonis, pelakon Rita Nadira mengakui dia kerap menerima pelbagai kata-kata hinaan daripada penonton dan netizen.
Walaupun begitu, Rita, 25, berkata dia tidak pernah mengambil hati sebaliknya menyifatkan lakonannya berjaya meninggalkan kesan sekiranya penonton ‘membenci’ dirinya.
“Sejujurnya, sampai ada yang sanggup melemparkan kata-kata kesat dan penghinaan yang disifatkan keterlaluan kerana terbawa-bawa dengan emosi lakonan saya.
“Gelaran jahat dan perempuan jalang antara hinaan yang pernah dilempar ke muka saya. Tetapi saya terpaksa telan bulat-bulat.
“Saya percaya apabila dibenci sedemikian rupa, lakonan dipersembahkan berjaya diserlahkan. Kalau begini caranya, saya tak kisah dibenci,” katanya kepada Media Hiburan.
Pelakon tinggi lampai ini juga percaya watak wanita jahat dan penggoda yang sering digalasnya juga berjaya menjadi batu loncatan agar bakatnya dapat diterima penonton drama tempatan.
“Ada sesetengah pneonton anggap saya boleh diberi gelaran ratu antagonis. Saya lihat itu sebagai penanda aras untuk terus berikan yang terbaik.
“Saya anggap ia rezeki, cuma kalau ada kesempatan saya mahu meneroka watak lain juga supaya tidak terus statik,” katanya.
Drama lakonan Rita berjudul Jangan Menangis Cinta kini sedang ditayangkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di saluran Astro Ria.
Selain Rita, drama arahan Raja Mukhriz itu turut dibintangi Amyra Rosli, Remy Ishak, Halim Radzi dan Idzham Ismail.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Rita Nadira