Penyanyi, Ezad Lazim berkongsi kisah duka apabila memaklumkan ibunya, Rosadah Jahaya, 69, telah menghembuskan terakhirnya awal pagi tadi.

Berita sedih itu dikongsikan bekas anggota kumpulan Exists itu menerusi akaun Instagram miliknya.

Menurutnya, semalam, dia bersama ibu baru sahaja memperingati hari pemergian bapanya genap setahun yang lalu.

“Al-fatihah. Baru semalam kita kenang pemergian arwah abah dah setahun.

“Hari ini mak pula menyusul pergi meninggalkan kita.

“Ibu saya Rosadah Bt Jahaya telah pergi mengadap yang maha esa hari ini.

IKLAN

“Mohon doakan yang terbaik buat arwak ibu saya. #rindumak #alfatihah,” tulisnya.

Menurut laporan Harian Metro, ibu Ezad dilaporkan meninggal pada jam 6.30 pagi tadi selepas didapati rebah di dalam bilik air ketika ingin mengambil wuduk untuk menunaikan solat fardhu Subuh.

Menurut kakak kepada penyanyi tersebut,  Rozaimah Mohd Lazim berkata, ibunya itu sebelum ini tidak mempunyai sebarang penyakit berbahaya hanya darah tinggi yang terkawal sahaja.

“Emak tiada apa-apa sakit dan kalau ada pun hanya darah tinggi tapi terkawal. Seperti biasa, pagi ini dia bangun untuk solat subuh.

“Adik bongsu kami, Mohd Rizal ketika itu sedang solat dan terdengar namanya dipanggil oleh emak.

“Dia segera mendapatkan emak dan mendapati emak jatuh dan tidak sedarkan diri dalam bilik air,” katanya sperti yang dipetik.

Tambah Rozaimah lagi, dia terus menghubungi Ezad yang berada di Kuala Lumpur sebaik sahaja insiden tersebut berlaku.

“Doktor yang tiba tak lama kemudian mengesahkan emak sudah tiada. Kami segera memaklumkan kepada Ezad dan dia kini dalam perjalanan pulang.

“Dia sempat balik menjenguk emak selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya.

Difahamkan, jenazah ibu Ezad akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Uda, Alor Setar selepas Asar.

Menerusi ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan ucapan takziah buat penyanyi lagu Demi Cinta itu.

Sumber: Instagram Ezad Lazim & Harian Metro