Berita

Gie Menang Kilauan Emas 2024 Dengan 80.08%, Nasihat Juri – “Jangan Habis Di Sini, Bijak Guna Kelebihan Media Sosial.”

Share

Kilauan Emas 2024 (KE2024) final malam tadi melakar sejarah tersendiri apabila Gie Hamid, diumumkan sebagai peserta wanita pertama merangkul gelaran juara, selepas enam musim penganjurannya.

Persembahan konsisten Gie atau nama sebenarnya, Roziah Abdul Hamid, meletakkan peserta berusia 48 tahun ini di kedudukan teratas dalam kalangan lima peserta saingan dengan markah sebanyak 80.08%.

Menerusi kemenangan tersebut, peserta asal Mersing, Johor itu berjaya membawa pulang wang tunai RM30,000 beserta trofi sumbangan Astro, pakej umrah sumbangan Khadim Ummah Holidays dan pakej penginapan percutian sumbangan Avillion Port Dickson

Gie turut meraih Anugerah Emas Berkilau Of The Week.

Sementara Sidi sebagai Naib Juara KE2024 dengan markah 70.74% dan diikuti Ina dengan 65.99% yang terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.

Tempat ke empat hingga ke enam pula masing-masing menjadi milik Sue (65.00%), Wan (64.39%) dan Ron (51.68%).

Gie Tak Sangka, Anggap Sidi Saingan Kuat

Berkongsi mengenai kemenangannya, Gie akui terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kerana menyifatkan Sidi sudah memberi saingan yang cukup kuat.

“Memang saya tidak sangka, tapi itulah dikatakan rezeki tak salah alamat. Walau terima komen positif para juri, saya memang tak letak harapan tinggi untuk menang.

“Saya sebenarnya ingatkan Sidi yang bakal jadi juara sebab persembahannya pun tak kurang hebat dan konsisten.

“Malah ketika hanya tinggal kami berdua di atas podium, Sidi teka saya yang akan menang, waktu itu pun saya masih tak letak harapan.

“Bagi saya, yang penting nak selesaikan persembahan dengan baik saja. Selebihnya saya reda, berserah pada rezeki. Terima kasih kepada semua atas sokongan ini,” katanya.

Hattan Harap ‘Kemilau Emas’ Peserta Tak Terus Pudar

Datuk Hattan selalu juri KE2024 berharap agar barisan peserta tahun ini meneruskan minat masing-masing dalam dunia nyanyian, meski program ini sudah melabuhkan tirai.

“Harapkan perjuangan mereka tidak habis di sini, lama-kelamaan peminat pun melupakan. Kalau boleh, tak mahu begitu.

“Mereka termasuk pihak produksi sama-sama beri ruang dalam terus menonjolkan bakat. Misalnya menerusi penampilan di dalam program tertentu, persembahan pentas dan sebagainya.

“Sebab platform KE2024 sudah pun menonjolkan kebolehan mereka dan saya percaya permintaan terhadap penyanyi dalam usia ‘emas’ ini masih lagi ada,” katanya.

‘Masuk’ Dengan Arus Semasa, Guna Kelebihan Medsos

Dalam pada itu, juri jemputan KE2024 final, Edry Abdul Halim pula percaya mereka akan terus mampu menjadi perhatian sekiranya bijak menggunakan kelebihan media sosial.

“Saya ambil contoh Datuk Hattan sendiri, beliau tahu audiensnya bagaimana. Jadi kena pandai untuk dekatkan diri kita dengan kelompok audiens semasa.

“Lanskap KE2024 sudah berbeza dengan musim yang terdahulu. Sekarang kita ada sosial media, boleh ‘direct’ kepada peminat. Macam contoh, TikTok sebagai antara platform media yang cukup aktif.

“Jadikan diri anda ‘available’ sebab sekarang, ia tidak hanya terhad kepada pengguna muda remaja saja. Malah kalau aktif tonjolkan bakat di situ secara tak langsung boleh juga kumpul peminat baharu dan tambah pendapatan ekstra.

“Rajin-rajinlah berinteraksi dengan peminat di media sosial. Itu amat penting pada zaman sekarang. Pada saya, tak boleh ada mentaliti untuk tunggu produksi buat segala-galanya untuk kita.

“Kena pandai ‘marketkan’ diri, kerana mereka perlu sedar bahawa mereka sebenarnya ada nilai yang mungkin penyanyi di luar sana tidak ada. Perlu tahu apa kelebihan masing-masing,” katanya.

Malam kemuncak KE2024 telah dinilai oleh juri tetap, Datuk Hattan dan Erra Fazira, manakala Edry Abdul Halim sekali lagi bertindak sebagai juri jemputan. 

Program yang dihoskan Elly Mazlein dan Joey Daud  ini bersiaran secara langsung di saluran Astro Prima (105), On Demand serta boleh distrim menerusi aplikasi Astro Go dan Sooka.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini

Published by
MH