Penyanyi Aepul Roza mendedahkan gimik drum condong 90 darjah yang dipersembahkan di pentas akhir The Hardest Singing Show (THSS) sepatutnya ingin dilakukan pada minggu ke-6 namun, dia memutuskan untuk menukar lagu bagi menghormati sambutan Aidil Adha.
Menurut Aepul, dia tidak menyangka keputusan tersebut mempunyai hikmah yang sangat besar sekali gus menobatkan dirinya selaku juara sulung THSS.
“Saya ini peminat muzik rock. Idea untuk buat gimik drum itu datang daripada persembahan band Slipknot. Asalnya gimik ini ingin dilakukan pada minggu ke-6 tapi ia jatuh
pada malam raya haji.
“Jadi, untuk menghormati malam istimewa tersebut, saya tukar lagu yang berentak perlahan. Rupanya, kita direzekikan untuk sampai ke pentas akhir.
“Oleh itu, kita memang simpan idea gimik drum di final,” katanya kepada MH.
Vokalis kumpulan Drama Band ini berkata sedemikian ketika ditemui di sidang media THSS pada Ahad.
Dalam pada itu, Aepul juga mendedahkan dirinya berdepan dengan pelbagai cabaran untuk memastikan gimik drum tersebut sempurna.
“Untuk mencondongkan drum itu, bila kita lihat produksi luar buat, rupanya kita kena tengok kemampuan bajet. Namun, bajet saya sangat terhad.
“Bila berbincang dengan pihak produksi, saya, pasukan saya dan team prop nak sangat gimik ini menjadi. Ia melibatkan reputasi semua pihak.
“Asalnya, kita tak dapat nak buat sempurna seperti malam tadi. Saya dan posisi drum itu tidak stabil. Pihak prop juga sudah bersedia. Jadi, saya buat juga kerana itu impian saya.
“Malam final ini, saya tak nak simpan lagi. Saya tak mahu menyesal dan buat sampai habis. Menang atau kalah, itu semua rezeki,” ujarnya lagi.
Ditanya berapakah jumlah kos yang sudah dibelanjakan sepanjang menyertai THSS, Aepul memaklumkan dirinya sudah berhabis hampir RM60,000.
“Alhamdulillah, balik modal. Untuk persembahan solo di pentas akhir THSS, saya belanjakan hampir RM30,000. Secara keseluruhan pula, saya sudah belanjakan RM60,000.
“Namun, alhamdulillah, rezeki Allah yang bagi. Sambil-sambil saya bertanding, saya terima banyak undangan persembahan.
“Gaji mingguan di THSS pula, saya tidak ambil seorang dan kongsikan dengan team saya yang bertungkus lumus membantu saya. Semua ada bahagian masing-masing. Rezeki Allah nak bagi dan saya hanya jalankan sahaja,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Leez Rosli ini juga akui dirinya tidak menyangka bakal bergelar juara buat pertama kali sepanjang umurnya.
“Menang atau kalah, bukan lagi dalam kepala saya semalam. Saya reda. Ada atau tiada rezeki, saya okay sahaja kerana saya dan pasukan dah berjaya buat persembahan It’s My Life ini.
“Rezeki Allah nak bagi. Dengan kemenangan ini, datangnya tanggungjawab,” akhirinya.
Kemenangan tersebut membolehkan Aepul membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM150,000, pakej pelayaran dan trofi.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.