Peringkat suku akhir program Gimme The Mic Malaysia sudah pun berakhir pada Ahad dan fokus peserta kini beralih ke semi final, minggu hadapan.
Meskipun tiada penyingkiran, kesemua 12 peserta bagaimanapun bakal berdepan cabaran getir apabila harus menyempurnakan dua tugasan iaitu solo dan ‘battle’ bagi meloloskan diri ke malam kemuncak.
Shazreen Shaharum dan Jelly Belly paling mencuri tumpuan kelmarin menerusi persembahan masing-masing, sekaligus meletakkan mereka di ranking pertama dan kedua.
Bagi guru vokal, Sarah Ismail, dia mempunyai pandangan tersendiri apabila menyentuh mengenai prestasi para peserta Gimme The Mic Malaysia sepanjang enam minggu program berjalan.
Menurut Sarah, program ini menarik kerana berjaya mencungkil bakat peserta dari kalangan pempengaruh media sosial yang rata-ratanya mempunyai kekuatan tersendiri, dalam nyanyian.
“Secara keseluruhan, pada saya rancangan ini sangat istimewa kerana ia memaparkan kepelbagaian. Ada peserta yang mempunyai kredibiliti dalam membawakan genre rock dan balada dengan baik.
“Malah, ada peserta yang mempunyai personaliti yang kuat bila berada di atas pentas selain terdapat peserta yang tidak mempunyai ilmu yang luas tentang muzik.
”Kesemuanya cuba berusaha dan akhirnya, kita boleh nampak usaha habis-habiskan mereka untuk pastikan persembahan dapat dijayakan dengan gempak,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, Sarah akui para peserta masih hijau dan perlukan lebih masa untuk menimba pengalaman.
“Namun, untuk melangkah ke peringkat yang lebih besar, pengalaman sangat penting. Mereka bertapak bermula daripada skrin (media sosial) sahaja.
“Bila mereka melangkah ke pentas yang lebih besar, saya tak pasti yang mereka mampu memberikan kualiti persembahan 100 peratus. Mereka baru nak mulakan langkah.
“Jadi, mereka harus mengharungi lebih banyak pentas sebenar. Boleh nampak mereka masih terkejut. Platfrom skrin dan pentas sangat berbeza.
“Ada perbezaan antara penyanyi media sosial dan mereka yang biasa buat persembahan di pentas. Namun, dari segi kualiti, mereka kini sedang bergerak ke arah lebih baik,” kongsinya lagi.
Ditanya peserta mana yang mempunyai kelebihan untuk mara ke peringkat Gimme The Mic Global, Sarah memilih Farhan Mustapha dan Bulan Asyraff.
“Pada saya, Farhan ialah peserta yang gifted. Tuhan kurniakan suara yang sedap kepadanya. Berilah lagu apapun, tetap elok didengar dan disukai semua. Suaranya juga sangat baik.
“Pada akhirnya, para penyanyi harus sedap menyanyikan lagu-lagu daripada pelbagai genre. Walaupun, dia seorang penyanyi jalanan, namun persembahannya tampak bijak bila di atas pentas.
“Bulan juga merupakan antara peserta yang disukai ramai. Tone seperti Bulan itu belum ada di dalam industri. Jadi, ia merupakan satu kelebihan buat Bulan untuk diketengahkan,” ulasnya lagi.
Sementara itu, pengendali program Vokal Class by Sarah Ismail ini juga menasihatkan para peserta untuk menjaga diri dan tidak menjadikan kesihatan sebagai penghalang untuk memberikan persembahan terbaik.
“Untuk bergelar penyanyi, bersenam dan menjaga kecergasan itu sangat penting. Badan kena sihat barulah kita boleh berikan persembahan terbaik.
“Seperti minggu ini, ramai peserta yang dikhabarkan sakit. Namun, kamu tiada pilihan. Tiada jalan keluar melainkan kamu sendiri yang harus menjaga keadaan tubuh sendiri.
“Sebagai seorang yang berpengalaman memasuki pertandingan, kesihatan adalah tanggungjawab diri sendiri. Kita kena cukup tidur dan rehat.
“Saya tahu, ada kalanya rasa gemuruh itu buat kita tidak selesa tapi siapa yang nak tolong kita? Kita kena hadap juga,” kongsinya lagi.
Menjelang minggu separuh akhir dan final, Sarah menyarankan para peserta untuk menampilkan kekuatan sebenar dan tidak perlu lagi mencuba sesuatu yang baharu.
“Saya rasa tak perlu nak berekperimentasi lagi. Minggu-minggu sebelum ini, mereka sudah berkarya. Bila memasuki minggu-minggu akhir ini, tak perlu berkarya lagi.
“Mereka sepatutnya sudah tahu kekuatan mereka untuk menambat hati juri. Pilih genre lagu yang terbaik. Itu akan lebih menyerlahkan forte kita di dalam pertandingan ini,” akhirinya.
Terdahulu, juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok selain tawaran projek lagu single tajaan Astro dan Rocketfuel.
Sementara Enam peserta terbaik pula bakal dipilih mewakili Malaysia untuk bersaing dalam saingan Gimme The Mic Global bersama peserta negara lain seluruh dunia.
Kesemua peserta diadili juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan BCL dari Indonesia.
TikTok LIVE Astro Gimme The Mic Malaysia bersiaran selama lapan minggu setiap Ahad jam 9.00 malam di Astro Ria dan On Demand. Penonton juga boleh strim di Astro Go dan Sooka.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Kredit Foto: Instagram Sarah Ismail