Nadeera Zaini menafikan sekeras- kerasnya dakwaan yang mengatakan dirinya merupakan penyanyi wanita yang didakwa bersekedudukan dengan lelaki berstatus suami orang.
Menurut Nadeera, dia juga bingung mengapa namanya tiba-tiba terpalit dengan kontroversi seperti ini yang dianggap tidak berasas.
“Saya pun tak tahu kenapa nama tiba-tiba dipetik. Saya memang tak suka masuk campur urusan orang lain lebih-lebih lagi hal rumah tangga.
“Saya tidak mahu komen apa-apa. Terpulang kepada kalian nak cakap individu itu saya atau bukan.
“Namun, saya ingin tegaskan individu yang dimaksudkan itu bukanlah saya. Saya menafikan semahu-mahunya,” katanya kepada MH.
Penyanyi lagu Bukan Lagi Kita itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Gempak Most Wanted Awards 2025 yang berlangsung di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada masa sama, Nadeera tidak menolak kemungkinan isu ini sengaja direka bagi menjatuhkan nama baiknya.
“Saya rasa mungkin ada betulnya juga. Isu ini terjadi secara tiba-tiba. Saya pun tak tahu niat mereka kaitkan nama saya.
“Tak mengapalah. Saya tidak mahu ambil peduli,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Nadeera akui bersyukur kerana dikurniakan ahli keluarga yang sangat memahami dan tahu tentang permainan dunia seni.
“Saya sudah terangkan perkara sebenar. Saya memang tak tahu menahu bagaimana isu tersebut timbul. Alhamdulillah mereka okay sahaja.
“Mereka pun tahu ini merupakan gosip yang sengaja dibuat untuk menghangatkan keadaan. Yelah, AJL pun akan berlangsung tidak lama lagi.
“Macam-macam isu yang timbul. Tak boleh buat salah sikit,” ujarnya.
Berani Kerana Benar
Ditanya bagaimana dia boleh kekal tanang meskipun namanya terpalit dengan tuduhan yang sangat berat, ini reaksi Nadeera;
“Saya tidak salah. Jadi, buat apa nak takut. Itu sahaja cara saya. Berani kerana benar.
“Saya sebolehnya nak menepis gosip-gosip panas. Kalau boleh saya mahu menjadi artis yang bersih. Saya bukan orang yang suka cari masalah,” katanya.
Jelas Nadeera lagi, dia kini mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap persediaan menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 yang akan berlangsung tidak lama lagi.
“Ia tidak mengganggu konsentrasi saya menjelang AJL. Saya seorang yang tak ambil kisah bila timbul isu seperti ini. Saya tidak mahu memeningkan keadaan.
“Ketika ini, fokus saya adalah persiapan menjelang AJL. Jadi, saya malas nak beratkan isu-isu remeh seperti ini. Hal seperti ini tak perlu pun saya fikir.
“Memang itu bukan saya. Lantaklah orang nak cakap apa pun,” akhirinya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI