Arab Saudi bakal menyertai pertandingan ratu cantik berprestij Miss Universe buat kali pertama dalam sejarah negara tersebut.
Model dan graduan pergigian, Rumy Alqahtani menjadi perwakilan sulung negara tanah arab itu di persada global.
Mempunyai lebih sejuta pengikut di Instagram, Rumy mengumumkan penyertaannya di laman media sosial tersebut dalam satu hantaran yang menampilkan dia memakai gaun labuci perak dengan selempang tertera perkataan Miss Universe Arab Saudi dan juga bendera negara itu.
“Saya berbesar hati untuk mengambil bahagian dalam Miss Universe 2024. Ini adalah penyertaan pertama Arab Saudi dalam pertandingan Miss Universe,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Dilahirkan di Riyadh, wanita berusia 27 tahun ini merupakan graduan pergigian dan fasih berbicara dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Arab, Inggeris dan Perancis.
Dia dijangka bakal berentap dengan wakil negara lain dari seluruh pelusuk dunia pada 18 September akan datang bertempat di Mexico di mana Sheynnis Palacio, Miss Universe 2023 bakal menyerahkan takhtanya kepada juara baharu.
Imbas kembali latar belakang Rumy dalam pertandingan ratu cantik, dia bukanlah wajah baharu. Sebelum ini dia pernah mewakili Arab Saudi di pertandingan Miss Global Asian, Miss Arab Peace dan Miss Europe.
Pada Februari 2024, Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) melantikny sebagai Duta Muhibah untuk menjadi suara menentang keganasan yang dikenakan kepada wanita dan gadis.
Selain itu, dia juga telah dijemput sebagai penceramah ucaptama kepada Sidang Kemuncak Dunia ke-7 mengenai Hak Asasi Manusia 2024 di Geneva.
Penyertaan Rumy dalam pertandingan ratu cantik terkenal ini dilihat sebagai salah satu hasil dari reformasi yang sedang dilakukan pemerintah Saudi Arabia, Putera Mahkota Mohamad Bin Salman.
Beliau telah menerajui rancangan Vision 2030 yang bertujuan untuk membawa pembaharuan sosial dan ekonomi ke Arab Saudi
Di bawah pemerintahannya, wanita kini dibenarkan memandu, menghadiri acara sukan awam dan konsert bersama lelaki serta mendapatkan pasport tanpa kelulusan penjaga lelaki.
Kerajaan itu juga telah menarik balik larangannya ke atas pawagam dan menggalakkan acara bercampur jantina, menandakan perubahan ketara daripada norma masyarakat setempat sebelum ini yang lebih tradisional.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan