Perasaan pelakon dan penyanyi, Wani Kayrie bercampur baur apabila bakal menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Perdagangan, di Management & Science University (MSU), Shah Alam, tidak lama lagi.
Berkongsi mengenai sijil Anugerah Dekan yang baru diterima, Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah memberitahu dia kini hanya perlu menyiapkan satu tugasan akhir sebelum memulakan program latihan industri pada tahun hadapan.
“Keputusan anugerah dekan tersebut daripada sesi Februari 2022. Saya baru ada kesempatan untuk mengambil sijil berkenaan baru-baru ini.
“Bagaimanapun, pengajian saya telah pun berakhir dan kini hanya tinggal satu lagi tugasan akhir yang perlu disiapkan. Kemudian, saya hanya perlu menunggu keputusan peperiksaan dan sertai latihan industri.
“Saya pasti akan merindukan rakan-rakan dan pensyarah sepanjang pengajian saya di sini. Momen-momen menyelesaikan tugasan pada saat akhir juga tidak akan saya lupakan,” katanya ketika dihubungi MH.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Jangan Terlepas Pandang itu bakal menjalani latihan industri tahun hadapan.
“Saya akan menjalani latihan industri selama enam bulan. Namun, saya belum membuat sebarang keputusan mengenai tempat yang bakal dipilih.
“Sudah tentu saya akan buat yang terbaik dan berikan fokus 100 peratus semasa menjalani latihan industri. Sebolehnya saya mahu mencari syarikat yang boleh mempertimbangkan mengenai jadual kerja saya.
“Saya merancang untuk menjalani latihan industri di syarikat yang punyai bahagian perundangan dalam bidang ‘dunia hiburan’ kerana ia amat dekat dengan jiwa saya sebagai anak seni.
“Syarikat rakaman saya pun ada menawarkan untuk menjalani latihan industri bersama bahagian perundangan mereka. Apapun, saya akan tetap gunakan cara lama dengan mencuba menghantar resume sebanyak yang boleh,” ujarnya lagi.
Ditanya adakah sama ada terfikir untuk menyambung pengajiannya di peringkat master pula, Wani tidak menolak sekiranya ada peluang.
“Sejujurnya saya amat lega selepas berakhirnya semua semesta di universiti. Setidaknya saya dapat berehat sekejap selepas hampir tiga tahun berhempas pulas mengimbangkan diantara kerjaya dan pelajaran.
“Namun, saya juga punyai perancangan untuk menyambung pengajian di peringkat master kerana pada saya, bidang perundangan ini sangat luas. Rasanya ada banyak lagi ilmu-ilmu yang saya boleh dalami.
“Jika diberikan kesempatan, sudah tentu saya akan pertimbangkan,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Wani kini bersaing di dalam program realiti, Famili Duo bersama gandingan keluarga, Bella Astillah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.