
Setelah sekian lama peminat berteka-teki, Astro akhirnya memperkenalkan barisan bintang yang bakal bersaing dalam program realiti popular, Gegar Vaganza musim ke-13 (GV13).
Membawakan tema Gegar Vaganza Fantasia, GV13 bakal menyaksikan persaingan sengit antara barisan penyanyi yang pernah mencipta nama menerusi program realiti popular terbitan Astro, Akademi Fantasia (AF), suatu ketika dahulu.
GV Fantasia bakal memulakan saingannya pada 8 November depan, jam 9 malam, secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104).
Satukan Kembali Bintang Akademi Fantasia
Kesemua peserta merupakan antara penyanyi yang pernah mencetuskan fenomena ketika menyertai Akademi Fantasia pada zaman kegemilangan masing-masing.
Malah, lagu-lagu nyanyian mereka juga masih malar segar dan terus mendapat tempat di hati peminat sehingga hari ini.
Kemunculan semula mereka di pentas besar pastinya bakal mengubat kerinduan peminat yang sekian lama ingin menyaksikan bintang kesayangan kembali bersinar.
Selain menggamit nostalgia, GV Fantasia juga dijangka membuka lembaran baharu buat setiap bintang yang bertanding, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyerlahkan semula bakat dan kemampuan masing-masing.
Antara bintang GV Fantasia yang diumumkan ialah Stacy, Vince, Faizal, Mila Jirin, Firman, Zahid, Shahir dan Faizul.
Turut menyertai persaingan ialah penyanyi yang pernah menggegarkan industri seni tanah air menerusi fenomena Tsumawi, iaitu Mawi.
Bagaimanapun, pada majlis sidang media berkenaan, hanya sembilan nama diumumkan terlebih dahulu, manakala empat lagi peserta bakal diperkenalkan pada konsert minggu pertama.
13 Penyanyi Bakal Berentap, Barisan Juri Kekal
Setelah sekian lama menyepi daripada pentas pertandingan, kemampuan kesemua 13 penyanyi ini bakal diuji menerusi tugasan berbeza yang diberikan pada setiap minggu.
Mereka juga perlu memberikan persembahan yang memukau serta berani keluar daripada zon selesa demi menambat hati barisan juri dan peminat.
Bagi musim ini, Astro masih mengekalkan maestro muzik, Datuk Ramli MS sebagai ketua juri, bergandingan dengan Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia, Hetty Koes Endang.
Anda mungkin berminat dengan
Lebih istimewa, GV13 bakal dikendalikan trio pengacara popular, Nabil Ahmad, Jihan Muse dan Sherry Alhadad.
GV13 akan berlangsung selama 11 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam.
Program hiburan keluarga ini juga boleh ditonton menerusi platform Astro One dan sooka.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!

