“Video tersebut sudah lama jalani penggambaran, cuma kita keluarkan balik.”
Demikian jelas usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Nur Shahida susulan ada warganet yang mempersoalkan pemilihan pelakon Ruhainies menerusi kandungan promosi produk di platform media sosialnya.
Malah Aliff turut menafikan dia cuba menagih populariti susulan menggunakan selebriti yang sedang berdepan isu sensasi ketika ini.
“Habistu kalau aku sudah bayar, tak kan nak simpan (video) saja ke? Cuba kalian berada di tempat saya. Bagi saya, jangan campurkan hal lain dengan peribadi. Sebelum ini saya sudah pun bayar dia, jadi tak kanlah nak perap?
“Nak tunggu dia ‘kertu’ umur 80 tahun, rambut beruban dan gigi sudah rongak baru saya muat naik video dia? Cuba fikir. Kadang-kadang ada yang melebih-lebih, tiada perasaan dan jiwa. Saya pun ada perasaan.
“Video tersebut sudah lama dirakam, malah ada juga yang dakwa saya cuba nak tumpang populariti? Populariti apa?,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Terlajak Laris di Glam Hall, Damansara pada Ahad.
Aliff pada masa sama berpendapat, ujian setiap orang juga berbeza-beza dan dia memilih untuk berbuat baik dengan sesiapa sahaja.
“Bagi saya apa yang berlaku adalah masalah peribadi masing-masing. Macam saya sendiri pun tak tahu, mungkin masa depan akan ditimpa ujian juga dan saya berkawan dengan semua orang.
“Saya pernah bekerjasama dengan Bella Astillah dan begitu juga dengan Ruhainies. Setiap individu ada momen jatuh dan naik. Kita tidak boleh menghakimi sesiapa. Mungkin satu hari ada yang lebih baik berbanding kita pada akhirnya.
“Apa yang berlaku janganlah melibatkan semua orang. Hari ini mungkin hari kita, esok lusa pula tiba masa kita. Siapa tahu?,” katanya lagi.
Sementara itu, bintang filem Badang ini turut mempersoal sikap sesetengah warganet yang dilihat lebih gemar memberi perhatian kepada ‘content’ (kandungan) yang dicipta berbanding hal membabitkan perniagaan.
“Kamu semua ini pun satu. Aku tak berjoget, kau tak nampak aku. Aku tak terkangkang, kau tak tengok aku. Apa masalah netizen sebenarnya?
“Kalau tak ada orang macam kami ini, tak ada monyet, tak ada kera macam kami ini, tak ceria Malaysia. Kamu semua nak tengok gosip, kena bercerai, kena bertumbuk, kena berzina,” katanya.
Malah baginya, ramai pengguna media sosial yang sentiasa ingin melihat kandungan yang bersifat mengaibkan seperti saman, tangkap basah dan sebagainya.
“Sebenarnya, orang Malaysia ini kalau tak kes apa-apa (kandungan), mereka tak nak tengok. Contohnya, kalau ‘Aliff Syukri melancarkan produk baharu’, ada kau nak tengok?
“Sampai merayu suruh beli, tak ada kau nak tengok. Cuba kalau aku kena panggil dengan SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia).
“Cuba kalau aku kena saman RM70 juta? Muka aku di muka depan. Cuba kalau aku kena tangkap basah? Berduyun begini yang tengok,” katanya.
Terkini, Aliff mengumumkan bahawa tahun 2024 menjadi tahun terakhirnya sebagai penyanyi selepas mengambil kira pelbagai pandangan.
Untuk terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini