Menyedari pengorbanan dan sumbangan jaguh sukan, Teh Tarik Place memberikan penghargaan dengan mengumumkan pemberian teh tarik dan produk makanan sepanjang hayat kepada semua atlet Malaysia yang mewakili negara di dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan, restoran berkenaan yang mempunyai lebih 14 cawangan di seluruh negara dan dua di Brunei menyatakan sumbangan tersebut selain mengharapkan semua rakyat Malaysia terus menyatakan sokongan kepada atlet negara yang sudah menaikkan nama negara di persada dunia.

Menurut Pengerusi Eksekutif Techna-X, Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar, pengorbanan semua atlet harus dihargai.

“Kami ingin menyampaikan satu pesanan kepada semua atlet Malaysia, walaupun ada yang meragui, kami tetap mengakui pengorbanan, semangat, dedikasi dan kesukanan yang ditunjukkan oleh atlet di sepanjang Sukan Olimpik ini berlangsung.

“Objektif kami adalah untuk memberi sokongan selepas mereka balik ke tanah air. Apa yang akan kami beri kepada mereka adalah teh tarik dan makanan percuma untuk seumur hidup,” katanya.

Ads

Beliau pada masa sama berharap usaha Teh Tarik Place ini menjadi contoh kepada pihak lain untuk terus menghargai para atlet negara.

“Teh Tarik Place berharap selepas inisiatif yang kami lakukan, lebih banyak lagi organisasi lain datang tampil ke hadapan untuk memberi penghargaan kepada para atlet yang telah mewakili Malaysia pada temasya Olimpik 2020.

“Mereka ini boleh memberi semangat kepada para atlet lain untuk turut mengharumkan nama negara di mata dunia.

Ads

“Jadi kami berharap lebih banyak syarikat lain tampil untuk memberikan sumbangan kepada atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negara ini,” jelasnya lagi.

Teh Tarik Place merupakan anak syarikat kepada Craveat International dan juga rakan francais rasmi untuk rangkaian makanan kasual antarabangsa; TGI Fridays di Malaysia dan China.

Ads

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Craveat International, Lee Yew Jin mengakui sangat mengagumi semangat Olimpian negara.

“Kami sangat menghormati kesungguhan dan disiplin diperlukan untuk menguasainya (pertandingan) dan prestasi ditunjukkan atlet negara adalah pencapaian besar.

“Oleh itu, sebagai tanda penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga kerana menaikkan nama negara, kami ingin mengumumkan pemberian seumur hidup berupa teh tarik dan produk makanan kepada semua Olimpian Malaysia di Tokyo,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Malaysia berjaya membawa pulang satu perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang serta beregu badminton lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik di temasya Olimpik Tokyo 2020.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI