Hael Husaini Bercakap Soal Konsert Tertangguh, Ulas Isu Badannya Susut

Share

Penyanyi dan penulis lagu, Hael Husaini berhasrat untuk mengadakan konsertnya sediri selepas konsert anjuran syarikat ramakannya yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari lalu terpaksa dibatalkan disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Menurut Hael, sekiranya tiada aral melintang, dia merancang untuk mengadakan konsert tersebut pada tahun ini juga.

“Konsert daripada Rocketfuel dibatalkan disebabkan beberapa masalah yang telah pun mereka selesaikan. Itu daripada segi pengurusan.

“InsyaAllah, untuk konsert saya yang akan datang, kalau ada rezeki, saya akan cuba buat sendiri pada tahun ini,” katanya kepada MH.

Jelas Hael lagi, dia akui kecewa selepas konsert tersebut terpaksa dibatalkan meskipun sudah membuat persiapan hampir 70 peratus.

“Sudah tentu saya kecewa apabila konsert sebelum ini terpaksa dibatalkan. Ini adalah konsert pertama saya dan saya sangat teruja. Saya sudah membuat persediaan hampir 70 peratus untuk konsert tersebut.

“Namun, bila konsert tersebut tidak menjadi, kita tak boleh nak menyalahkan sesiapa dan saya anggap ia bukan rezeki saya,” kongsinya lagi.

Penyanyi lagu Jampi ini berkata sedemikian ketika ditemui pada majlis sidang media Anugerah Drama Sangat 2023 yang berlangsung di IOI Mall, Putrajaya pada Ahad.

Katanya lagi, masalah kesihatan yang dihadapinya sebelum ini memang memerlukan untuk berehat secukupnya.

“Bercakap mengenai masalah kesihatan pula, pihak pengurusan telah membuat keputusan untuk membenarkan saya berehat dan tidak terlibat dengan sebarang konsert supaya kesihatan saya tak terjejas dalam jangka masa yang agak lama,” ulasnya lagi.

Ditanya mengenai berat badannya yang dikatakan semakin susut, Heal memberitahu, dirinya kini berasa lebih sihat.

“Berat badan saya semakin kurus adalah disebabkan banyak perkara yang harus saya kurangkan. Dalam proses sembuh itu, banyak yang perlu saya jaga dari segi pemakanan dan kesihatan.

“Berat badan saya lebih kurang sahaja dengan berat sebelum ini tetapi kini saya rasa lebih sihat. Itu yang penting bagi saya,” akhirinya.

Sekadar informasi, Konsert Hael Husaini Live in KL sepatutnya berlangsung pada 4 Disember lalu namun ditangguhkan kepada 19 Februari 2023 sebelum dibatalkan.

Dalam perkembangan lain, Hael bakal membuat persembahan istimewa di malam kemuncak Anugerah Drama Sangat 2023.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.


Published by
Aizam Manaf