Komposer dan penyanyi lagu Jampi, Hael Husaini yang mengungguli trofi Juara Lagu Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32) Ahad lalu menyifatkan kemenangannya sebagai rezeki anak angkat, Nur Helena.
Katanya, sejak mengambil Helena tahun lalu, rezekinya datang mencurah-curah dan pastinya, Hael turut dedikasikan kemenangan tersebut kepada anak kesayangannya itu.
“Saya dedikasikan trofi ini kepada anak angkat, Helena kerana sejak dia hadir dalam hidup, rezeki semakin murah dan saya tidak menolak ini juga adalah rezeki kami. Meski pada awalnya agak ragu-ragu mengambil anak angkat, bagaimanapun semuanya dipermudahkan dan saya memang tidak boleh hidup tanpanya,” kata Hael yang tidak menjadikan pujian terhadap Jampi memberi laluan mudahnya untuknya dalam memberikan persembahan terbaik di AJL edisi 2018 ini.
Terdahulu, Jampi ciptaan Hael dan Ezra Kong itu berjaya menewaskan 11 lagu lain di acara muzik tahunan berkenaan yang sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000, sebuah trofi dan baucar CJ Wow Shop bernilai RM10,000.
“Saya selalu kongsi bersama pengurus, kalau ada yang beri pujian terhadap Jampi, jangan anggap itu sebagai satu kelegaan. Sebaliknya, ia amanah dan kepercayaan ramai yang sekali gus membuatkan saya tertekan. Alhamdulillah, saya sudah cuba berikan sehabis baik. Kemenangan ini buat semua yang menyokong. Terima kasih atas kata-kata semangat dan dorongan,” katanya kepada MH ketika ditemui sejurus sidang media AJL32.
Berkongsi mengenai perkembangan terbarunya pula, Hael atau nama sebenarnya, Hal Husain Razmi baru sahaja selesai bekerjasama dengan Stacy dan Ayda Jebat untuk single terbaru mereka. Lebih menarik, dia turut membayangkan bakal berkolaborasi dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza Datuk Seri Siti Nurhaliza tidak lama lagi.
“Insya-Allah, saya ada rancang untuk kerjasama dengan Datuk Siti. Bagaimanapun, ia masih di peringkat perbincangan. Kalau jadi, ya tahun ini,” katanya jujur.
Wow.. kalau betul projek diaorg ni jadi, mesti mega kan? Min memang tak sabar!!!!!