Hael Husaini Kini Di Eropah Rai Minggu Fesyen, Handsome Dalam Persalinan Mewah

Share

Penyanyi Hael Husaini menerusi paparan terkini di Instagram berkongsi beberapa hantarannya ke Eropah selepas sekali lagi dijemput memeriahkan minggu fesyen antarabangsa yang berlangsung di beberapa negara di benua itu sepanjang Jun ini.

Ini merupakan kali ketiga penyanyi lagu Jampi itu diundang ke Italy misalnya, bagi memenuhi jemputan beberapa jenama terkenal antarabangsa seperti Prada, Zegna, MCM, dan Ralph Lauren.

Lebih istimewa, lawatannya kali ini turut mendapat jemputan eksklusif jenama mewah terkenal, Fendi yang turut dihadiri beberapa selebriti antarabangsa.

Malah Hael bersama penyanyi K-pop, Juyeon berpeluang mengunjungi kilang Fendi di Florence, Italy sekaligus menyaksikan pertunjukan fesyen di sana.

Hael juga kelihatan duduk di barisan hadapan selain meluangkan masa bersama pengarah kreatif Fendi iaitu Silvia Venturini Fendi.

Berkongsi mengenai perkara itu, Hael menyifatkan jemputan yang diterima sebagai satu penghormatan selain pertemuan bersama bintang terkenal dunia menjadi momen yang sukar untuk dilupakan.

“Saya sangat teruja menjadi tetamu eksklusif jenama terkenal seperti Fendi bersama selebriti yang hadir dari seluruh dunia. Selain dari pertunjukan fesyen, saya juga berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana produk berjenama ini dibuat.

“Selain itu, saya dapat meluangkan masa bersama selebriti antarabangsa yang lain seperti Diplo, Nicholas Galitzine, Greg Hsu, Noah Beck dan ramai lagi di acara tersebut.

“Saya juga tak sangka dapat mengisi masa berbual bersama pengasas Emporio Armani, Mr. Armani semasa menghadiri acara fesyen tersebut,” katanya. 

Difahamkan selain dari Milan, Hael juga akan terbang ke Paris untuk menghadiri pertunjukan fesyen beberapa jenama antarabangsa lain, minggu ini.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH