Penyanyi Hafiz Suip mengakui kesalahannya kerana bertindak kasar dan beremosi ketika terlibat di dalam insiden pergaduhan, Ogos lalu.
Hafiz atau Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 34, berkata, situasi itu berlaku berlaku disebabkan oleh seorang pemandu kereta menyemburkan semburan pemedih mata kepadanya terlebih dahulu.
Malah jelasnya lagi, kejadian tersebut terjadi sewaktu kesesakan jalan raya yang mungkin menyebabkan mereka saling beremosi sehingga bertindak di luar kawalan.
“Cerita sebenarnya saya memang mengakui ia adalah kerana terlalu emosi di mana biasalah bila kita berada di atas jalan dan berlakunya provokasi.
“Saya rasa dia emosi juga. Pada waktu itu sedang berlaku kesesakan jalan raya. Semua orang nak balik kerja. Dia keluar kereta sahaja terus spray. Itu yang menyebabkan saya jadi melenting dan terkejut.
“Waktu itu, lelaki tersebut mengguna pepper spray itu yang saya rasa sangat pedih. Bayangkan kita makan cili tergosok mata pun pedih, jadi cuba fikir apabila semburan itu tepat kena pada bahagian mata,” katanya.
Hafiz berkata demikian ditemui sejurus Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-39 (SFMM39) malam pertama di Studio 1, Glenmarie, Shah Alam, malam tadi.
Hafiz bagaimanapun bersyukur kerana kes tersebut dapat diselesaikan dengan baik dan mereka sudah saling memohon maaf.
Akibatnya, penyanyi lagu Awan Nano itu kini sedang menjalani hukuman bon berkelakuan baik selama enam bulan.
“Saya akui salah saya juga, saya sudah pun minta maaf dengan individu terbabit. Alhamdulillah semuanya sudah diselesaikan dengan baik.
“Sebenarnya perkara (kes gaduh) itu sudah selesai. Apa yang saya boleh katakan, sekarang ini saya berada dalam bon iaitu hukuman paling ringan bagi kesalahan tertentu.
“Saya perlu berkelakuan baik selama enam bulan. Sekarang ini baru dua bulan, jadi saya kena jadi ‘budak baik’. Saya tak boleh terkait dengan segala kes keganasan dan sebagainya,” ujarnya.
Hafiz bagaimanapun menyedari dia sepatutnya lebih bijak untuk menggendalikan emosi bagi sentiasa kekal tenang apabila berdepan dengan situasi tegang.
“Saya tidak mahu memanjangkan cerita lagi dan saya aku kesilapan saya. Saya kena belajar juga untuk mengawal emosi marah, mungkin juga disebabkan faktor usia.
“Bila kita berada dalam keadaan jiwa kacau, apa sahaja yang berlaku anda perlu lebih relaks.
“Fikir dulu sebelum buat apa-apa. Saya akui pada ketika itu saya tidak berfikir panjang. Bila selesai kes tersebut, fikir-fikir balik sepatutnya saya perlu lebih tenang untuk menyelesaikan masalah dengan rasional,” katanya lagi.
Terdahulu 30 Ogos lalu, video Hafiz yang didakwa menumbuk seorang lelaki yang dikenali sebagai Goh Hui Heong di Jalan Padungan, Kuching, Sarawak tular di media sosial.
Kejadian difahamkan berpunca daripada berlakunya salah faham apabila Goh didakwa membunyikan hon selepas Hafiz memberi isyarat memasuki jalan berkenaan.
Goh turut menghimpit serta memandu sehingga menghampiri kenderaan dipandu Hafiz sebelum berhenti di jalan berkenaan dan berlaku pertengkaran.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini
View this post on Instagram
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI