
Tampil menjawab teka-teki, penyanyi popular, Hafiz Suip mengesahkan dirinya tidak akan bertanding dalam program realiti Gegar Vaganza Fantasia (GVF) yang bakal memulakan saingan malam ini.
Menurut Hafiz atau nama sebenarnya Mohd. Hafiz Mohd. Suip, keputusan sukar itu terpaksa dibuat memandangkan dia tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya, selain perlu memberi tumpuan kepada isterinya, Fiona Saffiyya yang kini sedang sarat hamil.

“Apa yang boleh saya katakan, keputusan ini memang amat menghampakan peminat. Saya tidak akan menyertai GVF.
“Salah satu sebabnya kerana saya tak berani nak memberikan komitmen penuh.
“Lagipun isteri saya ketika ini sedang sarat hamil. Jika saya bekerja, saya akan berikan komitmen lebih daripada 100 peratus.
“Jadi, saya bimbang situasi sekarang akan mengganggu fokus kalau sertai pertandingan tersebut,” katanta.
Penyanyi lagu Awan Nano itu berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Anugerah Bintang Popular ke-38 (ABP38) yang berlangsung di Ombak KLCC, pada Sabtu.
Kekangan Jarak & Mahu Beri Tumpuan Kepada Isteri
Mengulas mengenai harapan tinggi peminat yang mahu melihatnya turut bertanding di GVF, juara Akademi Fantasia musim ke-7 (AF7) itu mengakui faktor lokasi tempat tinggalnya di Kuching, Sarawak serta jadual latihan yang dijangka padat menjadi antara penghalang.

“Saya memang dapat tawaran untuk sertai GVF ini. Saya bukanlah nak menolak rezeki malah kawan-kawan pun ada tanya kenapa tak sertai?
“Lagipun, jika saya terpaksa berulang alik daripada Sarawak ke Kuala Lumpur, ia agak sukar. Saya bukannya tak mahu tinggal di Kuala Lumpur tapi keadaan isteri saya lebih memerlukan saya.
“Nanti mereka dapat berlatih bersungguh-sungguh, latihan saya pula terbatas. Hal itulah yang menjadi kekangan buat saya,” ujarnya lagi.
Berkongsi mengenai perkembangan isterinya yang kini hamil tujuh bulan, Hafiz tanpa berselindung mendedahkan mereka bakal menimang cahaya mata lelaki.

“Sekarang alhamdulillah, usia kandungan isteri dah masuk tujuh bulan. Jantina ialah lelaki.
“Lelaki lagi tetapi apa-apa pun yang paling penting anak dalam kandungan sihat dan segalanya berjalan dengan lancar, itu sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Hafiz menjelaskan keputusannya untuk terus menetap di Kuching, Sarawak dan tidak berpindah ke Kuala Lumpur turut didorong tanggungjawab untuk menemani bapanya yang tinggal bersendirian.

“Satu lagi sebab adalah ayah saya. Dia sihat cuma tinggal seorang diri.
“Saya pernah bawa dia ke Kuala Lumpur, tetapi dia lebih selesa di sana kerana banyak memori.
“Bagaimanapun alhamdulillah, keadaan ayah sekarang semakin baik dan dia menyibukkan diri bersama adik-beradik serta ibunya yang masih ada,” jelasnya.
Anda mungkin berminat dengan
GVF Himpunkan Barisan Juara Akademi Fantasia
Terdahulu, nama Hafiz antara yang menjadi sebutan ramai sebagai salah seorang daripada empat lagi penyanyi yang bakal menyertai GV Fantasia.
GV Fantasia tahun ini menghimpunkan barisan pemenang daripada program Akademi Fantasia. Antara yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Mawi, Vince, Faizal, Shahir dan Mila Jirin.
Empat lagi peserta yang turut menyertai pertandingan berkenaan ialah Stacy, Zahid, Faizul Sany dan Firman Bansir.
Sekadar informasi, Hafiz dan Fiona mendirikan rumah tangga pada 14 Februari lalu.
Hafiz sebelum ini pernah berkahwin dengan Nureffy Jasreel pada 2016 dan sah bercerai pada Mei tahun lalu.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad Riyadh Zafri dan Muhammad Alkaf Zayne.
Menerusi perkahwinan terdahulu, Fiona pula dikurniakan tiga orang cahaya mata.
Untuk berita hiburan terkini dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi
sekarang!


