Fizikal penyanyi dan penyampai radio, Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin yang susut terjawab apabila dia mendedahkan, timbul satu benjolan di bahagian kiri payudaranya bersaiz dua sentimeter Jun lalu.
Perkara yang berlaku sekaligus mengundang serangan panik atau kebimbangan kepda dirinya.
“Apabila dapat tahu fasal benjolan itu, saya mula fikir bukan-bukan. Ditambah dengan situasi semasa pandemik, kebimbangan datang tiba-tiba. Sampai berat badan turun mendadak.
“Selera makan terus tak ada. Saya lebihkan minum air masak. Air manis takut nak minum.
“Dalam masa sama, saya turut memikirkan nasib diri sama ada kontrak sebagai penyampai radio di Media Prima Network (kini dikenali Media Prima Audio) ketika itu.
“Ikutkan saya pernah kena serangan panik sekitar 2016. Tak tahu apa punca. Mungkin juga sebab setahun sebelum itu penat dan terbeban perlu berulang alik dari KL ke Johor bertugas sebagai penyampai radio di Best FM dan komitmen Gegar Vaganza musim kedua,” katanya.
Bagaimanapun, isteri kepada Norhanapfe Omar memaklumkan keadaannya kini sudah kembali baik. Malah benjolan yang timbul di bahagian berkenaan juga sudah lenyap.
“Julai lalu, saya berkeras mahu bertemu pakar di sebuah hospital. Saya buat pemeriksaan mamogram dan Ultrasound. Doktor juga terangkan apa yang terjadi selain proses lanjutan perlu dibuat.
“Untuk kes saya, memang tak perlu apa apa. Malah doktor memaklumkan ‘cyst’ yang wujud juga akan hilang dengan sendirinya. Tapi saya bersyukur kerana benjolan pun sudah tiada.
“Paling penting, sokongan suami, ibu bapa, adik beradik, keluarga jadi azimat. Doa mereka sangat bermakna saat saya berdepan kegetiran sebegitu,” kata calon awal Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34 itu.
Justeru, pengalaman sakit dilalui berkenaan turut menjadi asbab dan kekuatannya mengendalikan segmen Santai Siang Bersama Haiza di Buletin FM yang turut mengupas perihal kesihatan.
Selain kesihatan, segmen yang turut diimbangi dengan hiburan dan lagu itu juga merangkumi informasi berkaitan gaya hidup, keibubapaan, tips ekonomi, pemerkasaan dan kerohanian.
Haiza mengendalikan segmen itu setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi sampai 3 petang.
“Dalam apa situasi pun kesedaran itu penting. Jangan biar berlanjutan baru nak bertindak. Semua wanita digalakkan untuk berjumpa doktor jika ada kemusykilan. Jangan cepat buat andaian. Ia akan mendorong kita fikir bukan-bukan.
“Tambah pula setiap Oktober diraikan program kesedaran kanser payudara atau dipanggil Pink October. Mencegah itu lebih baik daripada mengubati.
“Ditambah dengan peningkatan usia, bab kesihatan jangan diambil mudah. Jaga makan dan amalkan gaya hidup sihat.
“Berat badan saya pun mula naik sekarang bila hati sudah tenang dan kembali berselera. Mulalah nak ‘balas dendam’ makan itu ini. Tapi kenalah seimbangkan dengan hal lain termasuk fokus bekerja,” katanya lagi.