Hakim di Brazil telah mengeluarkan arahan untuk menarik balik lagu “Million Years Ago” nyanyian bintang pop terkenal Britain, Adele, di seluruh dunia. Keputusan ini dibuat susulan dakwaan plagiat yang dikemukakan oleh seorang komposer Brazil, Toninho Geraes, terhadap lagu tersebut.
Arahan ini turut melibatkan denda sebanyak $8,000 bagi setiap ketidakpatuhan yang dikenakan kepada anak syarikat Sony dan Universal di Brazil, syarikat label yang menerbitkan lagu Adele. Walau bagaimanapun, kedua-dua label terbabit masih boleh merayu keputusan itu.
Keputusan ini dikeluarkan oleh Hakim Victor Torres di mahkamah komersial keenam Rio de Janeiro pada hari Jumaat lalu sementara menunggu perkembangan lanjut dalam kes yang sedang berjalan.
Dalam injuksi awal tersebut, hakim mengarahkan Sony dan Universal untuk menghentikan serta-merta penggunaan, penghasilan semula, penyuntingan, pengedaran, atau pengkomersialan lagu “Million Years Ago” dalam apa jua bentuk.
Ini termasuklah media fizikal atau digital, platform penstriman dan platform perkongsian di seluruh dunia.
Fredimio Trotta, peguam kepada Toninho Geraes, menyifatkan keputusan ini sebagai pencapaian penting bagi muzik Brazil. Menurutnya, muzik Brazil sering kali menjadi inspirasi dan kadangkala ditiru untuk menghasilkan lagu-lagu antarabangsa popular.
Trotta turut menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan keputusan mahkamah ini disampaikan kepada penyiar radio, televisyen, dan perkhidmatan penstriman global agar pematuhan segera dilaksanakan.
Komposer Brazil, Toninho Geraes, mendakwa bahawa muzik dalam lagu “Million Years Ago” yang diterbitkan pada tahun 2015 oleh Adele mempunyai persamaan dengan lagu samba klasiknya, “Mulheres” (Wanita).
Lagu “Mulheres” telah dirakam oleh penyanyi terkenal Brazil, Martinho da Vila, dalam album hit pada tahun 1995.
Geraes menuntut bayaran royalti yang sepatutnya, ganti rugi moral berjumlah $160,000, serta pengiktirafan rasmi sebagai penulis bersama lagu Adele tersebut.
Sony Brazil menyatakan bahawa mereka tidak mempunyai sebarang kenyataan buat masa ini berhubung isu tersebut. Sementara itu, Universal Music Brazil juga belum memberikan sebarang komen rasmi.
Sumber: The Guardian