Penyanyi terkenal Datuk Jamal Abdillah enggan melayan kata-kata negatif yang dilontarkan terhadapnya selepas didakwa tidak bersimpati dan merelakan isterinya Datin Zai Izzati Khiruddin hamil terlalu rapat.
Menurut Jamal, dia mengaggap kehadiran cahaya mata kelima ini sebagai rezeki dan percaya aturan Allah itu yang terbaik.
“Kadang-kala perkara seperti ini tak boleh dirancang. Yang menentukan adalah Tuhan. Walau bagaimanapun kita merancang, kalau perkara itu ditakdirkan tidak berlaku, ia tetap tidak akan berlaku.
“Kecaman-kecaman seperti itu saya tidak akan layan dan tengok pun. Biarlah orang nak cakap perkara negatif. Saya buat perkara ini kerana Allah juga.
“Saya anggap ia sebagai rezeki,” katanya kepada MH.
Jamal berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Divas & Diamonds 2024 yang berlangsung di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sementara itu, penyangi lagu Gadis Melayu ini juga memaklumkan dirinya dan isteri telah pun mendapatkan nasihat daripada doktor mengenai kehamilan kali kelima ini.
“Berkenaan bersalin secara czer, kami juga ada mendapatkan nasihat daripada doktor pakar. Saya pun tak berani kalau tidak mendapatkan nasihat.
“Saya berserah kepada isteri saya. Sama ada dia nak ikat peranakkan atau sanggup bersalin lagi, terpulang kepada dia. Saya terima sahaja keputusan dia selepas ini,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Jamal turut berkongsi keadaan isteri yang kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) akibat alahan mengandung yang teruk.
“Perkembangan terkini isteri saya sihat alhamdulillah, dia sebenarnya mahu ikut pada hari ini tetapi masih perlu berehat.
“Dia alahan bukan sebab bersalin. Dia masih lagi belum boleh makan sudah masuk hari ke-12 dan asyik muntah-muntah,” ujar bapa kepada tujuh orang anak itu.
Mengulas lanjut mengenai kehidupan bersama anak-anak, Jamal menganggap kehadiran mereka sebagai terapi buat dirinya selepas penat bekerja.
“Sekarang saya rasa kehidupan keluarga bersama anak sangat seronok. Ini satu terapi bagi saya kerana tidak pernah rasa letih, bosan atau marah sekalipun.
“Ini adalah hiburan saya dan saya pun bukan jenis keluar rumah dengan anak-anak,” tuturnya.
Sebelum ini, Jamal dikecam teruk selepas memaklumkan bakal menimang cahaya mata ketujuh dan memberitahu isterinya sedang dirawat di IJN.
Jamal dan Zai Izzati mendirikan rumah tangga pada 1 April 2017 dan dikurniakan empat anak iaitu Nur Azura Yamani, 5, El Isaac Yamani, 4, Iskandar Rayyan Yamani, 2, dan Rahil Laura Salsabila Yamani, 1.
Penyanyi lagu Gadis Melayu itu memiliki dua lagi putera hasil perkahwinan terdahulunya iaitu Osama Yamani, 21, dan Ahmad Zaki Yamani, 17.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI