Hampir 10 tahun berkecimpung dalam arena muzik tempatan, penyanyi dan komposer Ryan Deedat semakin selesa dengan hala tuju muziknya.
Sejak memilih untuk bergerak solo pada tahun 2017, nama Ryan semakin dikenali peminat muzik.
Menerusi single debut Salimah, Ryan berjaya menempa nama apabila gandingannya bersama Allahyarham Sandra Dianne dalam lagu tersebut mendapat sambutan hangat sehingga berjaya menjuarai carta radio dan tersenarai dalam cara platform digital seperti Joox.
Selepas kejayaan berkenaan, Ryan juga pernah muncul dengan beberapa single seperti Propa yang dilancarkan tahun lalu dan Menari Dalam Gelap.
Terkini, Ryan kembali dengan single keempatnya yang berjudul Monalisa ciptaan Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.
Lagu ini turut mendapat sentuhan komposer dan penerbit terkenal Omar K sebagai penerbit rakaman.
Lagu berentak reggaeton yang diberikan susunan muzik indah ini turut disuntik dengan elemen muzik Timur Tengah.
Seakan mengambil inspirasi daripada karya agung lukisan Leonardo da Vinci, senyuman misteri wanita dalam potret Mona Lisa berjaya menawan sesiapa sahaja yang menatapnya.
Begitu juga dengan lagu ini, melodi lagu yang mesra telinga ini dihiasi dengan seni kata bercerita tentang obsesi seorang lelaki terhadap seorang wanita misteri yang berjaya mencuri perhatiannya.
“Ini merupakan kolaborasi pertama Universal Music bersama Ryan. Selain bakatnya, kami tertarik dengan aspirasi dan potensi yang Ryan miliki untuk membawa muzik Malaysia ke peringkat global.
“Kami sudah menyediakan perancangan rapi untuk mengukuhkan lagi status Ryan sebagai pejuang muzik urban di Malaysia bermula dengan lagu Monalisa ini.
“Kami menjangkakan lagu yang membawa konsep global ini bukan sahaja mampu menaikkan populariti Ryan, malah ia juga mampu membuka lebih peluang untuk Ryan bertapak dalam arena muzik antarabangsa”, jelas Anne Mukhtar, Pengurus Promosi & Pemasaran Domestik Universal Music Malaysia.
Mengulas tentang single terkininya itu, Ryan mengakui dia kini kembali menghasilkan karya berentak reggaeton seperti awal kemunculannya dahulu.
“Saya berharap lagu ini bukan sahaja mendapat sambutan positif pendengar.
“Semoga ia akan menjadi siulan ramai dan membuatkan mereka ingin turut berdansa mengikut rentak lagu,” harapnya optimis.
Monalisa merupakan terbitan bersama Fave Productions Sdn Bhd dan Universal Music Malaysia.
Lagu ini juga sudah boleh didapati di pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox dan juga Apple Music.