Hampir 3,000 Tengok Suriavolusi Di Lokasi Pertama, Bakal Gegar Kelantan Sabtu Ini!

Share

Lokasi pertama Suriavolusi di pusat beli-belah the Curve, Mutiara Damansara yang berlangsung Sabtu lalu telah mencuri tumpuan hampir 3,000 pengunjung yang hadir memberi sokongan.

Menerusi konsert tersebut, Suria FM dan AC Gas turut berbesar hati menyumbang sebanyak RM 11,000 ke Tabung Bantuan Khas Palestin, kelolaan Yayasan Nurjiwa dengan kerjasama organisasi Kita Fund.

Difahamkan, pertemuan antara penyampai Suria FM  bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi tujuan menyerahkan sumbangan akan dilakukan dalam masa terdekat

Menurut Roslinda Abdul Majid (DJ Lin) yang juga Pengurus Besar Suria FM, pihaknya terharu atas sokongan pendengar meski ia dilangsungkan dalam kadar sederhana bagi menghormati situasi yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Pihak kami turut prihatin dengan nasib yang sedang menimpa mereka saat ini, justeru sebagai tanda keprihatinan, kami menyalurkan sedikit sumbangan ke ‘Tabung Bantuan Khas Palestin’.

“Di samping itu, kami juga berusaha untuk sentiasa mengingatkan para pengunjung yang hadir untuk bersama-sama memberikan sokongan juga bersolidariti untuk Gaza,” katanya. 

Malah, pihaknya turut bekerjasama dengan organisasi Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia di Suriavolusi, KB Mall, Kelantan, Sabtu depan.

Suriavolusi di Kelantan akan  disempurnakan dengan penyerahan sumbangan wang tunai daripada AC Gas kepada Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Dhuafa’ Darul Mizan, Masjid Al- Ridhuan Kubang Kerian dan Pertubuhan Cakna Palestin Malaysia.

“Kami agak berdebar kerana kami tidak tahu penerimaan warga Kelantan terhadap Suria FM bagaimana kerana dah lama Suria FM tidak menemui peminat di Kelantan. Tetapi kami akan berusaha sedaya upaya, di samping terus berdoa agar segalanya dipermudahkan.

“Buat warga Kelantan, nantikan kedatangan barisan penyampai Suria FM juga berhibur dengan persembahan artis popular antaranya Azlan and The Typewriter, Aju Success, Halim Yazid & Dikir Barat dan Renggo Arrow,” katanya lagi.  

Lebih menarik, selain berhibur bersama barisan penyampai dan artis popular tanah air, terdapat juga pertandingan mewarna kanak-kanak yang akan berlangsung dari jam 12 tengah hari sehingga jam 2 petang.

Ia terbuka kepada kanak-kanak berusia dari 7 hingga 12 tahun dan kemasukan percuma. Pelbagai hadiah menarik seperti basikal, skuter kanak-kanak, beg sekolah dan hamper menanti.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini

Published by
MH