Hampir 4,000 penonton meraikan kejayaan Konsert Senandung Malam Unplugged – Payung Teduh X Sore yang berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur, Sabtu lalu.
Pelakon yang juga juru cakap kepada Neptunes Present, Nabila Huda berkata pihaknya bersyukur dan teruja atas sambutan baik yang diterima meski ia sudahpun memasuki edisi yang ketiga penganjurannya.
“Syukur alhamdulillah telah selesai dan konsert ini berjalan lancar seperti apa yang kita rancang. Kami dengan rasa rendah diri, mengucapkan jutaan terima kasih juga pada Parade Hujan dan Sore di atas persembahan yang luar biasa.
“Para peminat yang hadir turut berkongsi rasa yang sama, ditambah pula dengan kehadiran Noh Salleh, Ernie Zakri dan Atilia Haron memeriahkan suasana pada malam tersebut.
“Saat bahagia buat semua yang dapat bersama menikmati persembahan oleh kedua-dua kumpulan yang diiringi alunan muzik oleh pemain orkestra tempatan “Agal Musik Esemble” yang diterajui oleh Suffren dan rakan-rakan,” katanya.
Dalam pada itu, Noh misalnya membuat persembahan secara duet sebanyak dua lagu bersama kumpulan Sore.
“Noh dipilih oleh kumpulan Sore kerana sering berkongsi mengenai muzik sejak dulu. Malah muzik dimainkan oleh Noh juga seakan-akan sama dengan muzik kumpulan Sore,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini