Muzik dangdut merupakan salah satu genre muzik yang popular di Indonesia. Zaskia Gotik dan Ayu Ting Ting antara penyanyi dangdut yang berjaya di dalam dunia seni negara seberang itu.
Menariknya, mereka bukanlah ‘musuh’ dalam berkarya, sebaliknya hubungan akrab yang dimiliki menjadikan mereka terkenal dan sering diundang untuk membuat persembahan bersama.
Namun begitu ada kekurangan dalam penampilan mereka, kerana sebelum ini mereka sebenarnya sentiasa tampil bertiga bersama Allahyarhamah Julia Perez. Trio ikonik ini menjadi pilihan banyak stesen televisyen di sana untuk menjadi tetamu program ataupun konsert yang diadakan.
Dikenali dengan nama ‘Trio Cecepi’ yang bermaksud cewek-cewek happy, keletah mereka bertiga bukan sekadar penyanyi bahkan sebagai penghibur yang mengisi kaca televisyen sebagai hos yang memandu acara.
Julia Perez atau nama sebenarnya Yuli Rachmawati meninggal dunia pada tanggal 10 Jun 2017 setelah lama bertarung dengan penyakit kanser serviks. Kematiannya benar-benar memberi kesan kepada Zaskia dan juga Ayu.
Kelmarin dalam satu acara sempena hari ulang tahun stesen televisyen MNC yang ke-30, Zaskia dan Ayu berkolaboratif dalam satu persembahan tribute untuk mengingati sahabat karib mereka itu.
Melakukan persembahan dengan kehadiran visual Julia Perez secara digital di skrin besar, kelihatan kedua-dua penyanyi itu tidak dapat menahan sebak dan mengalirkan air mata saat menyanyikan lagu popular milik Julia Perez, Aku Rapopo.
Walaupun dengan nada yang tersekat-sekat, mereka tetap profesional menghabiskan persembahan.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI