“Hanya Ada Dia Selepas Kehilangan Bapa,” – Pandemik Covid-19, Mark Adam Risaukan Ibu Berusia 60 Tahun Di Filipina

Share

Penyanyi dan guru vokal, Mark Adam mengakui risau dengan keadaan ahli keluarga terutama ibunya, Florinda Macaraig Echivarre, 60, di Cebu, Filipina berikutan status terkini pandemik Covid-19 di negara berkenaan

Menurut Mark, dia akan sentiasa menghubungi ahli keluarganya bagi mengikuti perkembangan dan keadaan terkini insan tersayang

“Saya sangat risaukan keadaan ibu dan adik-beradik di sana. Saya akan selalu bertanya khabar dan menasihati mereka supaya menjaga diri 

serta kesihatan.

“Kali terakhir saya jumpa ibu adalah pada Januari lalu. Saya hanya ada dia saja untuk menumpang kasih selepas kehilangan ayah.

“Apabila tidak dapat ke sana untuk bertemu dengannya, saya akui tidak boleh duduk diam dan sentiasa berdebar.

“Saya akan selalu menghubungi atau membuat panggilan video untuk mengikuti perkembangannya,” katanya.

Terdahulu, Mark ditemui pada majlis pelancaran single baru berjudul Teh Terakhirku.

Lagu bersempena sambutan Hari Raya Korban itu turut menampilkan pelawak Shuib dan bintang muda Zynakal.

Mark turut menambah, sejak ibunya berpindah ke rumah baru yang dibelinya di Jugan, Sibu, Mark akui sedikit lega apabila kawasan perumahan itu tidak sesak berbanding sebelum ini.

“Selalunya setiap hari Ahad ibu akan keluar berjalan tapi sejak kes Covid-19 meningkat secara mendadak di Filipina, dia sudah tidak lagi keluar.

“Saya juga bersyukur apabila kawasan perumahan dikelilingi pagar, jadi tidaklah terlalu sesak dengan kawasan perumahan lain seperti keadaan rumah sebelum ini yang begitu rapat.

“Mujurlah ada adik-beradik yang boleh jagakan ibu di kampung. Sehingga hari ini saya tak putus berdoa agar ibu dijauhkan daripada wabak itu,” akhirinya.

Published by
Rafiq Mazlan