Bermula hanya sekadar gurauan pengarah, Adrian Teh yang mencabar para pelakonnya untuk membina ‘six pack’ bagi mendapatkan babak ‘close-up’ shot tanpa berbaju di dalam filem Malbatt Misi Bakara, rupanya perkara tersebut dipandang serius oleh pelakon meningkat naik Ikhram Juhari.
Menurut Ikram, dia sememangnya mahukan babak tersebut sehingga sanggup menjalani rutin diet dan senaman ekstrem bagi menghidupkan watak Lans Koperal Wahid.
“Sepanjang dua bulan sebelum penggambaran, saya memang memberikan sepenuh tumpuan untuk membina ‘six pack’. Saya akan menjalani latihan di gimnasium dua kali sehari.
“Saya juga akan berjemur selama 40 minit bagi menggelapkan kulit badan dan diakhiri dengan sesi sauna selama 45 minit hingga sejam bagi membuang air di dalam badan.
“Malah, saya berhabis sekitar RM200 sehari demi pemakanan yang berkhasiat. Saya hanya boleh mengambil protein dengan makan enam biji telur masak untuk sarapan dan ikan tilapia rebus buat hidangan tengah hari selain buah-buahan.
“Saya tidak boleh mengambil karbohidrat kerana akan menyebabkan perut buncit, sebab itu sebelum dan semasa penggambaran memang saya amat menjaga pemakanan,” katanya kepada MH.
Meskipun sebelum ini dia pernah menyatakan pendiriannya untuk tidak mendedahkan badannya terutama dalam media sosial dan televisyen, namun Ikhram berpandangan babak tersebut merupakan satu keperluan selepas melihat kesesuaian keadaan dan skrip.
“Sebelum ini memang saya ada keluarkan kenyataan tidak mahu tayang badan, tetapi sekarang saya lakukannya.
“Sejujurnya, saya berfikir banyak kali sebelum memutuskan untuk tayang badan. Namun, saya hanya buat untuk filem sahaja tetapi tidak untuk drama.
“Saya hanya tayang badan untuk kerja bukannya suka-suka. Setakat ini peminat memahami tujuan saya berbuat demikian. Andai dikecam selepas ini, saya sudah bersedia,” katanya ketika ditemui di majlis pelancara filem Malbatt Misi Bakara baru-baru ini.
Katanya lagi, sebagai pendatang baru, dia juga ada mendapatkan nasihat daripada pelakon senior, Hairul Azreen dan Shaheizy Sam tentang hal panjagaan badan.
Selain Ikhram, filem aksi tersebut turut dibintangi Shaheizy Sam, Hairul Azreen, Adlin Aman Ramlie, Bront Palare, Zahiril Adzim, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Gambit Saifullah, Dafi Ismail Sabri, Safwan Nazri, Nafiez Zaidi, Taufiq Hanafi dan Theebaan G.
Filem Malbatt Misi Bakara yang diangkat daripada kisah benar perang saudara di Somalia pada tahun 1993 itu menjadi filem termahal dalam sejarah Malaysia apabila dibikin dengan kos berjumlah RM20 juta.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Kredit Foto: Instagram Ikhram Juhari
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI