Isteri kepada penyanyi, Lan Solo, Sheila Razlan berkongsi khabar duka selepas memaklumkan bapa mertuanya baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir awal pagi tadi.
Menurut Sheila, dia dan suami sebenarnya telah pun pulang ke kampung untuk berada disamping ayahnya yang difahamkan telah terlebih dahulu dikejarkan ke Hospital Taiping, Perak sejak tiga hari yang lalu.
“Finally..selesai sudah urusan dunia ayah mertua saya. Kami memilih mendahulukan urusan keluarga. Alfatihah buat MOHAMED YUSOF BIN ISA.
“Beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 4.00 pagi tadi di Hospital Taiping,” tulisnya.
Perkhabaran tersebut dikongsikan oleh ibu kepada empat orang cahaya mata itu menerusi entri terkini yang dimuat naik di laman Instagram.
Dalam pada itu, Sheila turut menyeru kepada semu pihak untuk sama-sama menitipkan doa semoga segala urusan pengkebumian jenazah bapa mertuanya itu akan dipermudahkan.
“Sudilah kiranya kalian sedekahkan Al-Fatihah untuk beliau. Untuk semua kaum keluarga dan teman-teman rapat yang sangat memahami keadaan ketika ini, TERIMA KASIH banyak-banyak. Hanya kalian lah pembangkit semangat buat kami ketika masa-masa begini.
“Sepanjang hari ini kami akan sedikit sibuk untuk urusan pengkebumian jenazah. InsyaAllah,mohon semuanya diberi kelancaran,” jelasnya lagi.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen dan rakan artis turut menzahirkan rasa sedih selain turut mendoakan agar arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
“Salam takziah. Semoga Almarhum diampuni dosanya dan ditempatkan dikalangan orang-orang beriman.
“Salam takziah buat kalian sekeluarga. Semoga tenang dan tabah. Didoakan semoga arwah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin ya mujib.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, semoga dipermudahkan segala urusan Lan sekeluarga,” antara reaksi-reaksi netizen dan rakan artis di ruangan komen.
Sebelum ini, ibu kepada Lan dikhabarkan turut telah dimasukan ke hospital disebabkan oleh beberapa masalah kesihatan.
Malah, Lan turut memaklumkan anak bongsunya itu juga telah dibawa berjumpa dengan pihak doktor selepas dia difahamkan mengalami demam panas sejak dua hari yang lalu.
Sumber: Instagram Sheila Razlan