Pasangan popular David Beckham dan Victoria Beckham merupakan antara pasangan selebriti antarabangsa yang dikenali begitu rukun dalam menjaga rumah tangga mereka. Dengan usia perkahwinan yang sudah mencecah 23 tahun, mereka dikurniakan empat cahaya mata.
Dalam satu temu bual bersama River Café Table Podcast, bintang bola sepak ini mendedahkan yang isterinya itu makan menu yang sama sahaja sejak 25 tahun lalu ketika mereka mula-mula berkenalan.
David yang merupakan seorang penggemar dan kerap bereksperimentasi dengan makanan berkata, “Saya boleh berperasaan emosional tentang makanan dan juga wine, apabila saya makan sesuatu yang hebat saya mahu orang lain juga menikmatinya.
“Malangnya saya berkahwin dengan orang yang hanya makan menu yang sama selama 25 tahun. Sejak saya kenal dengannya, dia hanya makan ikan bakar dan sayur kukus. Jarang sekali dia tersasar dari makan menu tersebut.”
David menambah lagi yang isterinya ini hanya pernah sekali sahaja makan makanan dari pinggannya ketika mengandungkan anak bongsu mereka, Harper Seven.
Kongsinya, “Ada sekali sahaja dia berkongsi makan makanan yang ada di pinggan saya. Ketika itu dia sedang mengandungkan Harper dan ia merupakan perasaan yang paling menakjubkan. Saat itu merupakan petang kegemaran saya. Apa yang pasti, dia tidak lagi makan menu tersebut sejak itu.”
Victoria atau popular dengan gelaran Posh begitu menjaga pemakanannnya untuk mengekalkan bentuk tubuh dan menjaga kesihatan. Dia sebelum ini pernah mengakui yang tidak makan makanan yang dimasak menggunakan minyak, mentega atau sos. Ahli kumpulan Spice girl ini juga tidak makan daging merah dan makanan berasaskan tenusu.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan
Sumber: Dailymail
Kredit foto: Instagram David Beckham, Instagram Victoria Beckham