‘Hanya Olok-Olok’? Rupanya Kourtney Belum Sah Kahwin Dengan Travis Barker!

Share

Rupa-rupanya berita mengenai perkahwinan bintang realiti TV, Kourtney Kardashian dengan tunangnya, Travis Barker adalah sekadar ‘olok-olok’ belaka.

Kourtney menerusi laman Instagramnya menjelaskan, mereka hanya sekadar melakukan ‘latihan’ sebelum melangsungkan majlis perkahwinan sebenar.

Pasangan itu juga difahamkan tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dan ia tidak sah mengikut undang-undang.

Majlis ‘perkahwinan’ itu dilangsungkan pada pukul 2 pagi, Isnin lalu di Las Vegas selepas beberapa jam majlis Anugerah Grammy melabuhkan tirai.

Pasangan berkenaan turut hadir memeriahkan lagi majlis anugerah muzik tersebut dengan menghadiri ‘after party’ yang diadakan selepas itu.

“Pada pukul 2 pagi selepas berlangsungnya satu malam yang epik, seorang permaisuri dan rajanya yang kacak pergi ke sebuah gereja dan ‘disatukan’ oleh paderi bergaya ala Elvis dan berkahwin (tanpa sijil perkahwinan sah). Kami buat latihan dulu,” tulis Kourtney.

Dalam posting tersebut, Kourtney, 43, turut berkongsikan foto perkahwinan bertemakan ‘rock and roll’ itu buat tatapan peminatnya.

Menerusi laporan media sebelum ini, perkahwinan mereka disahkan oleh pemilik gereja One Love Wedding Chapel, Marty Frierson. Lokasi itu menjadi kegemaran buat mana-mana pasangan yang ingin mengadakan majlis perkahwinan secara mengejut.

Malah, penyanyi Britney Spears juga pernah berkahwin di situ dengan salah seorang bekas suaminya, Alexander pada 2004.

Percintaan kakak kepada Kim Kardashian itu mula dihidu pada Disember 2020 dan kemudian pada Februari 2021 baharu Kourtney mengakui hubungannya dengan jejaka penuh bertatu itu.

Mereka kemudiannya bertunang lapan bulan selepas itu.

Hubungan mereka juga turut direstui oleh anak masing-masing. Kourtney mempunyai tiga orang anak iaitu Mason, 12, Penelope, 9, dan Reign, 7, hasil perkongsian hidup dengan Scott Disick.

Manakala Travis mempunyai dua anak meningkat remaja iaitu Landon, 18, dan Alabama, 16, hasil perkahwinan dengan bekas isteri, Shanna Moakler.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Foto: Instagram Kourtney Kardashian

Published by
Juliana Johar