Salah seorang pengacara All Stars Gegar Vaganza (ASGV), Elly Mazlein mengejutkan ramai apabila menarik diri daripada terus mengendalikan program nyanyian berkenaan di samping dua hos lain, Nabil Ahmad dan Jihan Muse.
Menurut Elly yang mesra disapa Kak Lina, dia memohon maaf kerana tidak dapat meneruskan komitmen mengacara di ASGV dan mengucapkan terima kasih atas sokongan yang telah diberikan sebelum ini.
“Kak Lina mohon maaf kerana tidak dapat meneruskan mengacara All Stars Gegar Vaganza atas sebab-sebab peribadi. Kak Lina ingin mengambil kesempatan ini juga untuk mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong Kak Lina sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza.
“Sesungguhnya Kak Lina amat menghargainya. InsyAllah, kita doakan rancangan All Stars Gegar Vaganza terus berjaya dan Kak Lina berharap agar peminat-peminat kekal menyokong semua bintang GV yang bertanding,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad turut mengesahkan mengenai perkara terbabit dan menghormati keputusan yang telah dibuat.
“Setelah memberi pertimbangan secara teliti, dengan rasa berat hati Astro dan Kak Lina (Elly Mazlein) ingin mengumumkan pengunduran Kak Lina dari program All Stars Gegar Vaganza atas hal-hal peribadi. Walaupun berasa sedih, Pihak Astro menghormati keputusan yang diambil.
“Pihak Astro ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kak Lina atas kesungguhan dan komitmen yang diberikan sepanjang siaran All Stars Gegar Vaganza.
“Pastinya para peminat Kak Lina masih berkesempatan untuk menonton personaliti yang disayangi ramai menerusi program-program Astro yang akan datang,” katanya.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini