Pelakon asal Singapura, Hannah Delisha kini tampil ayu dengan mengenakan hijab, sejak empat hari lalu.
Bintang yang dikenali menerusi drama Mencintaimu Mr Photographer menerusi Berita Harian menjelaskan, dia mulai pasang niat untuk bertudung sejak Ramadan.
“Jika ikutkan, saya sudah berniat mahu memakai hijab sejak Ramadan lalu. Bagaimanapun, disebabkan terikat dengan komitmen drama Cinta Sekali Lagi, niat berhijrah terpaksa ditangguhkan dahulu.
“Namun, saya tidak menangguhkan hasrat sebaik selepas penggambaran. Semoga saya terus istiqamah. Alhamdulillah.
“Saya mula bertudung sejak empat hari lalu. Namun, hanya berkongsi berita penghijrahan dalam laman sosial, semalam,” katanya seperti yang dipetik.
Menyifatkan jiwanya kini rasa lebih tenang, pelakon berusia 24 tahun itu turut mengulas akan apa yang dirasainnya.
“Saya hanya menunaikan tanggungjawab kepada Allah SWT. Dalam hidup, kena sentiasa berubah dan memperbaiki kekurangan diri.
“Saya mahu menjadi muslimah yang baik. Insya-Allah.
“Saya juga bersyukur kerana keputusan dibuat pada saat tiada hutang penggambaran yang memerlukan saya tidak bertudung,” katanya lagi.
Dia pada masa sama turut menepis hijrahnya itu bukanlah kerana mahu mendirikan rumah tangga.
Terdahulu, Hannah ada memuat naik fotonya yang mengenakan tudung seolah-olah memberi bayang perihal penampilan sopannya kini.