“Hari ini saya diuji, abang saya pula pergi mengadap Illahi.” Luahan reda bercampur emosi itu diluahkan Ali Puteh yang juga adik kepada pelawak terkenal, Abam Bocey atau nama sebenarnya, Syed Umar Mukhtar Syed Mohd Ridzuan, yang meninggal dunia awal pagi tadi.

Dipetik menerusi IG TV Awani, Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan bagaimanapun percaya dengan segala perancangan Yang Maha Esa dan perlu tenang berdepan dengan dugaan.

“Saya tak mampu sebenarnya untuk tahan benda ni sampai kadang-kadang saya termenung fikirkan nasib hidup. Tapi saya percaya dengan qada dan qadar, perancanganNya yang sangat hebat.

“Macam mana pun saya kena tenang, kena tahan, kena segala-galanya. Cuma selepas ini tiada lagi istilah abang dalam hidup saya.

“Saya dalam industri ini akan bertanya dengan dia, tetapi selepas ini tak ada abang saya dah dalam industri. Saya kena bergerak sendiri untuk terus berada dalam industri,” jelasnya.

Ditanya mengenai apakah hasrat yang ingin dilakukan bersama Abam, Ali menambah sepatutnya mereka bekerjasama di dalam sebuah program masakan dan merancang untuk mulakan penggambaran selepas Syawal.

IKLAN

“Sebenarnya saya ada perancangan menerusi sebuah program bersama arwah. Kita rancang selepas raya akan mulakan penggambaran, sebuah rancangan masakan. Tapi tidak kesampaian. Satu kerjasama dengannya balik, tapi benda itu tidak akan jadi.

“Kalau saya diberi peluang pun saya tak mahu buat sebabnya saya yang merancang bersamanya. Tiada yang boleh gantikan dia dalam hidup saya,” kata Ali yang turut akui pada fasa ini, dia sekeluarga perlu tenangkan ibu tercinta.

“Saya perlu tenteramkan mak kerana dalam keadaan sekarang dia pun masih sakit, masih tidak sihat. Saya tidak tahu apa yang akan jadi selepas ini, tetapi saya akan jaga mak saya macam mana dia jaga. Arwah anak yang baik.

IKLAN

“Kalau tengok hari ni ramai yang datang. Saya tahu ramai yang sayang dia. Macam yang dia pernah cakap pada saya, kalau kita baik Ali semua orang sayang kita. Tak pernah dia bergaduh dengan siapa-siapa, tak pernah susahkan orang.

“Hari ini terbukti penuh dalam masjid ni, datang nak tengok dia. Itu yang saya tahu dia sangat hebat dalam hidup saya,” tutur Ali dalam nada sebak.

Terdahulu, Allahyarham Abam meninggalkan seorang balu, Siti Nur Hidayah Mohd Ali, 28, dan anak lelaki mereka Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini mencecah usia 5 bulan.

IKLAN

Menurut Awani, arwah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Gombak pada pagi Isnin, sebelum jenazahnya dihantar ke Hospital Selayang bagi proses bedah siasat.

Jenazahnya kemudian dibawa ke Masjid Zakaria, Gombak kira-kira jam 5.30 petang dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu sekitar jam pukul 7.30 malam.

Foto/Sumber: Awani

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI