“Hari Ni Kita Dapat RM19,000 Jualan,” – Hari Akhir Niaga Air Balang, Syahmi Sazli Murah Hati Beri Tip RM1,000 Buat 15 Pekerja

Share

Selepas mengambil keputusan untuk menutup sementara perniagaan air balang yang diusahakannya sejak Ramadan lalu, pengarah dan YouTuber, Syahmi Sazli secara langsung terpaksa melepaskan pekerjanya seramai 15 orang.

Menerusi Instagram, Syahmi meluahkan rasa penghargaan terhadap para pekerjanya selain mengucapkan terima kasih di atas dedikasi yang telah diberikan.

“Terima kasih pekerjaku, InsyaAllah ada rezeki kita bekerjasama lagi,” tulisnya ringkas menerusi ruangan kapsyen.

Sementara itu, pengarah filem Mael Totey menerusi video posting berkenaan turut memberikan tip gaji berjumlah RM1,000 pada setiap pekerjanya.

“Untuk hari ni kita dapat sebanyak RM19,000 jualan. Malangnya kita takde rezeki nak meneruskan jualan air balang kita ni. Selepas dua bulan setakat ini dulu, selepas beberapa isu dan faktor.

“Kita putuskan untuk berhenti di sini. Tapi kesianlah dekat pekerja ni, berhenti mengejut. Selalunya ada notis.

“Jadi sebabkan kesian dekat korang, biasanya seminggu dapat gaji 2,3 ratus kan. Hari ni 15 orang ni…kita bagi RM1,000 seorang. Sementara kita buka pulak, ada la duit untuk perbelanjaan,” katanya.

Dedikasi tersebut menerima reaksi baik pekerja selain ada yang turut sebak dengan penghargaan yang diberikan majikan.

Malah di ruangan komen, rata-rata pengikut di Instagram memberikan pujian terhadap Syahmi sebagai majikan prihatin selain turut sebak sejurus menonton video yang sudah pun menerima lebih 300,000 tontonan itu.

Terdahulu, Syahmi mendedahkan untuk terpaksa menutup perniagaan minuman berkenaan susulan rasa bimbang sekiranya lokasi jualan itu mengganggu ruang parkir orang lain.

Keputusan tersebut juga dibuat disebabkan beberapa faktor lain.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH