Pelakon Hariz Hamdan, tampil memberikan pandangan bahawa sebagai pelakon, persediaan rapi menjadi perkara yang perlu dititikberatkan sebelum ke set penggambaran sesebuah projek drama atau filem.
Menurut Hariz, atau nama sebenarnya Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 22, perkara itu penting bagi memudahkan proses penggambaran di antara rakan pelakon.
“Sebagai pelakon, kita perlu sentiasa bersedia di set penggambaran. Misalnya buat persediaan dengan membaca skrip dari awal, bersikap profesional dan kurangkan buat hal sendiri.
“Untuk pelakon baru macam saya, cuba untuk ramah mesra dengan orang sekeliling, termasuk krew produksi. Insya-Allah kalau jaga attitude dekat set, orang pun akan jaga (senang) dengan kita,” katanya kepada MH.
Finalis Hero Remaja 2020 ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Who’s Your Bro yang berlangsung di Bukit Jalil, pada Selasa.
Menurut Hariz lagi, untuk positif bekerja dalam industri seni ini, kita perlukan kerjasama antara satu sama lain dan tidak boleh bekerja secara individu.
“Apabila di set penggambaran, as an actor we need a teamwork, bukannya bergerak secara individu.
“Kita juga ada pengarah dan juga kru produksi. Jadi kerja sepasukan itu amatlah penting,” katanya lagi.
Demi memberikan komitmen, Hariz akui dia juga akan kurangkan masa untuk bermain telefon sepanjang di set penggambaran bagi mengelakkan dirinya terganggu.
“Kemudian, apabila ada pelakon senior, tegur mereka. Sebab tidak mudah untuk berjumpa dengan mereka, melainkan kalau ada peluang beraksi di hadapan kamera bersama.
“Saya pernah berlakon dengan ramai pelakon hebat seperti Rosyam Nor, Nabila Huda, Elly Suriati dan banyak lagi. Jadi sebolehnya saya cuba untuk sentiasa jaga sikap.
“Rajin untuk bertegur sapa dengan pelakon berpengalaman dan timba ilmu dari mereka. Saya juga percaya, orang lama tidak kedekut ilmu,” jelas Hariz lagi.
Dalam perkembangan lain, Hariz menjadi salah seorang komentator rancangan realiti terbaharu, Maskulin: Who’s Your Bro bersama tiga personaliti terkenal yang dipilih, Siti Khadijah, Dr. Say Shazril dan Mat Redho.
Program ini akan bersiaran bermula 29 November depan selama 10 minggu, setiap Jumaat jam 9 malam di saluran Astro Ria.