Harris Alif Tuju Video Istimewa, Intan Ladyana Turut Beri Respon Doa Ebit Lew ‘Terselit’ Soal Kandungan

Share

Suami kepada pelakon Intan Ladyana iaitu Harris Alif ada memuat naik satu video bersama pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew di laman Instagram yang menitipkan ucapan dan doa buat pasangan tersebut.

Bagaimanapun, ia menjadi perbualan ramai apabila doa yang dititipkan Ebit Lew seolah-olah mengiyakan kisah kehamilan pertama Intan.

Ini kerana sebelum ini, Intan memilih untuk tidak memberikan apa-apa reaksi terhadap dakwaan berkenaan.

Menerusi video yang dikongsikan itu, Harris meminta Ebit mendoakan kesejahteraan isterinya.

“Okey ustaz, ada doa tak untuk isteri saya?,” pinta Harris lalu dibalas ikhlas Ebit.

“Semoga Harris dan Intan Allah beri sentiasa bahagia sampai bila-bila, mati pun tak dapat dipisahkan sampai ke syurga Firdaus.

“Mudah-mudahan selamat insya-Allah kandungan anak yang soleh dan solehah, zuriat sampai kiamat dan berbuat kebaikan atas dunia. Insya-Allah Allah sayang,” kata Ebit.

Lebih mencuri tumpuan, Intan dilihat turut meninggalkan reaksi ‘amin’ pada ruangan komen entri tersebut.

Dakwaan mengenai berita kehamilan bintang berusia 39 tahun itu mulai diperkatakan susulan tular foto dan video Intan yang dikatakan menampakkan bentuk ‘baby bump’.

Harris bagaimanapun menjelaskan, mereka akan memaklumkan berita kesahihan sekiranya sudah sampai waktu sesuai.

Pasangan selebriti ini mendirikan rumah tangga pada Februari 2021.

Foto: Instagram Harris Alif, Intan Ladyana

Published by
MH