Penyanyi Hasnol mendedahkan dirinya bakal berkahwin buat kali ketiga dengan wanita pilihannya yang juga seorang akauntan dan bekerja di sebuah syarikat swasta selepas dua tahun menduda.
Hasnol atau nama sebenarnya, Hasnol Hassan Ariff, 54, berkata, dia terbuka hati untuk kembali berumah tangga selepas dua bulan menjalin hubungan serius dengan wanita berusia dalam lingkungan 40-an dan berasal dari Temerloh, Pahang itu.
“Insya-Allah, saya bakal tamatkan zaman duda. Saya percaya kepada jodoh dan rezeki. Jujurnya kami saling mengenali sudah lama menerusi platform TikTok, iaitu sekitar tiga ke empat tahun lalu. Tapi tidak pernah bertegur, hanya berkawan di alam maya sahaja.
“Cuma kami mulai serius sejak dua bulan lalu. Mungkin itu dinamakan jodoh, masing-masing pun suka sama suka,” katanya.
Penyanyi lagu Sudi Katakan Sudi itu berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Festival Muzik Vit’s – Konsert Telan Kaset 90-an di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, pada Jumaat.
Hasnol menambah, sikap tegas yang dimiliki wanita yang hanya mahu dikenali sebagai ‘Z’ itu menarik minatnya untuk mengenali lebih dekat.
“Keluarga pun sudah setuju dengan keputusan ini dan insya-Allah majlis akan dilangsungkan Disember depan. Alhamdulillah dia terima saya apa adanya.
“Malah saya sedar, di dalam sesebuah perhubungan, perlu ada kepercayaan sesama pasangan. Kalau nak cemburu, biarlah bertempat selain menjaga maruah masing-masing,” katanya lagi.
Hasnol sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama Akhmarzuraikha Salleh dan dikurniakan tiga cahaya mata sebelum berpisah.
Bintang asal Kuala Lumpur kemudiannya berkahwin dengan Marina Mohin dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia 13 tahun.
Bagaimanapun, mereka memilih untuk membawa haluan hidup masing-masing pada Oktober 2022.