Lima tahun melayari bahtera perkahwinan, penyanyi Hazama berkata buat masa ini dia dan isteri, pemuzik Genervie Kam sepakat menangguhkan seketika hasrat untuk menjalani rawatan kesuburan In Vitro Fertilization (IVF).
Keputusan tersebut dibuat susulan komitmen terhadap kerja.
Menurut Hazama atau nama sebenarnya, Hazama Ahmad Azmi, 38, mereka kini sedang mencari tarikh yang sesuai dan sudah membuat perancangan perkara itu mungkin akan dilaksanakan pada tahun hadapan.
“Buat masa sekarang keadaan masih belum mengizinkan dan kami berdua tengah tunggu waktu yang sesuai sebab masing-masing sibuk dengan komitmen kerja.
“Saya dengan kerjaya seni manakala isteri pula sibuk menguruskan perniagaan Asam Laksa yang semakin mendapat sambbutan… Alhamdulillah, rezeki selepas pandemik,” katanya kepada MH.
Hazama ditemui pada majlis pelantikan Duta Anti-Scam Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berlangsung di Maktab Polis Diraja Malaysia, Cheras, Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut Hazama lagi, dia tidak pernah terasa hati apabila ramai orang sering bertanyakan soal anak kerana bukanlah tugasnya untuk menjawab.
Sebaliknya, penyanyi lagu Terakhir Buat Teman ini berkata dia menyerahkan segala-galanya kepada rezeki daripada Allah SWT.
“Keluarga juga okay, tidak memberikan tekanan tentang perkara ini. Tekanan selalunya datang daripada orang luar.
“Saya tiada masalah sebab anak buah saya ada empat orang, kadang-kadang mereka duduk dengan saya dan dah anggap seperti anak saya juga, jadi kita layan pun macam anak.
“Isteri saya pun okay, tahun depan umurnya 43 tahun. Saya risau juga sebab kita pun selalu dengar orang kata bila usia sudah 40 tahun lebih ini risikonya agak tinggi.
“Jadi saya ada sedikit kerisauan di situ. Tapi doakan yang terbaik, kita dah cuba usaha, dah buat macam-macam.
“Sekiranya dikurniakan rezeki, maka adalah, jika tiada, tiadalah. Tetapi saya reda dengan semua ketentuan yang Tuhan telah tetapkan,” kata Hazama lagi.
Sekadar info, Hazama berkahwin dengan Genervie atau nama sebenar, Kam Shi Ling pada 15 Januari 2017.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.