Pengacara dan penyampai radio Hot FM, Haziq Hussni menzahirkan rasa syukur syukur kerana masih diberikan rezeki untuk berkhidmat bersama stesen berkenaan.
Menurut Haziq,30, dia juga tidak rasa kekok apabila diberikan tugasan baharu menerusi segmen Sembang Squad bersama rakan penyampai, Riena Diana yang mula memulakan tugas sejak Februari lalu.
“Alhamdulillah…Syukur saya masih diberikan rezeki untuk berkhidmat di radio. Ini adalah gandingan ke-7 dalam tempoh tujuh tahun sebagai penyampai radio sejak tahun 2014.
“Kami diberikan amanah untuk menyerikan segmen Sembang Squad yang bersiaran dari pukul 3 petang sehingga 7 malam. Jadual baru ini awal sejam dari segmen petang dahulu yang menamatkan tugas pada jam 8 malam.
“Saya juga menyenangi karakter Riena yang gila-gila kerana jenis ‘langgar’ saja untuk mencuba sesuatu yang baru. Malah, tidak kekok untuk mencari chemistry kerana kedua-dua kami suka bercakap dan bersembang,” katanya.
Haziq pada masa sama turut mengharapkan agar gandingan baru ini akan dapat bertahan lama.
“Sembang Squad memang diwujudkan untuk memberikan interaksi antara penyampai radio dan para pendengar.
“Saya berharap gandingan ini akan berkekalan lama kerana kami ingin mencuba pelbagai perkara baru khas buat pendengar,” katanya lagi.
Terdahulu, Media Prima Audio mengumumkan rancangan transformasi perniagaan susulan perlantikan kepimpinan kanan baharu yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif, Nazri Noran serta pelantikan Aaron Pinto sebagai Ketua Pegawai Kandungan Media Prima Audio dan Datuk Jake Abdullah sebagai pakar runding.
Nazri dalam satu kenyataan berkata, transformasi perniagaan itu membabitkan perubahan operasi termasuk perubahan kandungan dan barisan penyampai untuk semua stesen radio di Media Prima.