Bekas pengacara Muzik-Muzik, Haziq Hussni diumumkan sebagai pengacara Melodi terbaharu bergandingan bersama Ain Edruce.
Haziq membuat kemunculan pertamanya dalam program Melodi pada tengah hari Ahad tadi, bersiaran langsung di Studio 3, Glenmarie, Shah Alam.
Menurut Haziq atau nama sebenarnya, Muhammad Haziq Irfan Mohd Hussni, 32, berkata impiannya untuk mengendalikan program nombor satu itu akhirnya tercapai.
“Alhamdulillah, rezeki saya untuk join team Melodi. Saya rasa berbesar hati dapat mengacarakan Melodi, program hiburan nombor satu.
“Pengacara mana yang tak nak hoskan Melodi, ia ibarat satu cita-cita yang sudah berjaya saya capai sejak menceburi bidang pengacaraan,” katanya kepada MH.
Bercakap mengenai gandingannya bersama Ain Edruce, bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata dia teruja dengan kerjasama itu memandangkan memang berkawan baik dengan Ain.
“Melodi merupakan program pertama yang menggandingkan saya dengan Ain.
“Dapat pula partner yang gila-gila, memang tak susah nak cari keserasian sebab memang kami berkawan baik daripada dulu.
“Kami masing-masing tahu bagaimana cara untuk saling memberi dalam menyampaikan cerita dalam Melodi.
“Harapnya gabungan kami berdua dapat diterima ramai,” kata Haziq lagi.
Sementara itu, penerbit eksekutif Melodi, Mohd Jamil Hassan berkata pemilihan Haziq dilihat tepat bagi menarik minat penonton Melodi.
“Haziq merupakan pilihan yang tepat sebab pengalaman hosting yang dia ada.
“Kami gandingkan Haziq dengan Ain agar dapat menceriakan lagi cara penyampaian cerita supaya more lively, sebab itu kami wujudkan dua hos.
“Saya percaya gandingan mereka ini relevan dengan selera penonton Melodi,” katanya.
Sebelum Ain dan Haziq mengambil tempat, hos Melodi diterajui pelakon Nabila Huda yang kontraknya tamat pada Mei lalu.
Melodi sebelum ini pernah dihoskan ramai pengacara popular seperti Ogy Ahmad Daud, Fara Fauzana, Zizan Razak, Awal Ashaari dan Janna Nick.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.