Pernah mendapat tempat sebagai antara pengacara popular satu di kaca televisyen satu ketika dahulu, Helmi The Gimmick mendedahkan dia sebenarnya tidak pernah sepi dari dunia seni, cuma memilih untuk tidak ke layar komersial.
Helmi, 62, berkata, dia bersyukur dengan tawaran persembahan korporat sebagai pengacara dan penyanyi yang masih diterima sehingga ke hari ini.
Malah, Helmi yang kini mendapat gelaran Doktor turut menambah, dia turut syukur nikmat kerana kian sukses dalam bidang perniagaan meski kekal aktif memenuhi komitmen seni.
“Pada saya, takkan kita nak jadi penyanyi dan pelakon sampai mati? Kita perlu tahu kelebihan yang ada pada diri.
“Saya harap rakan artis di Malaysia tahu kelebihan mereka dengan nama dan pengalaman yang dimiliki, ia boleh digunakan untuk mencari jalinan perniagaan dengan produk atau perkhidmatan yang sesuai,” katanya.
Dia bagaimanapun percaya, setiap selebriti pasti mempunyai cara masing-masing di dalam menentukan halatuju kerjaya.
Helmi yang menjadi pengacara rancangan ‘game show’ Famili Ceria cuma berpendapat, artis wajar memastikan diri mereka dihargai dan pada masa sama cuba menjana pendapatan melalui nama yang dimiliki.
Tidak hanya tertumpu sebagai sebagai duta semata-mata, tetapi cari peluang untuk berada dalam organisasi syarikat seterusnya menggunakan kepakaran yang ada.
“Kita sendiri kena mahir dan tahu dengan sesuatu produk ataupun gunakan kelebihan kita untuk memberi ilmu kepada pihak terbabit termasuk cara berinteraksi dan berdepan dengan orang ramai,” katanya yang kini dilantik sebagai Pengarah Pemasaran Di Smart Bio Group.
Helmi bersama syarikat bumiputera tempatan itu memfokuskan kepada kajian dan pembanguan (R&D) serta penghasilan produk isi rumah dan kesihatan berasaskan tumbuhan herba Cendawan Merah atau Lingzhi dan Mengkudu yang juga dikenali sebagai buah Noni.
Sementara itu, penggerak kepada Smart Bio Group Muhammad Shukri Amin menjelaskan, pelantikan Helmi Gimmick sememangnya berdasarkan pengalaman dan kepakaran beliau selama 30 tahun di dalam bidang jualan langsung.
Smart Bio Group Sdn Bhd turut melancarkan kerjasama kesihatan dengan dengan Koperasi Karyawan dan Persatuan Karyawan dalam membantu artis-artis tempatan terutamanya mereka yang mengalami masalah kesihatan.
Mengenai gelaran doktor yang diperolehi, Helmi menerima gelaran terhormat Doktor Kehormat Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Sabi, Perancis pada 2019 hasil kerja keras serta pengalaman selama lebih 30 tahun dalam bidang pemasaran.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.