Sejak rakaman suara Britney Spears tersebar mengenai isu conservatorship yang dilaluinya, selebriti itu menerima sokongan yang cukup kuat daripada para peminat dan juga rakan selebriti. Dalam kekecohan isu ini, perihal bapanya yang dikatakan mengeksploitasi kekayaan Britney untuk kesenangan diri sendiri dan keluarganya menyebabkan ramai pihak tidak berpuas hati.
Dikatakan menerima gaji setiap bulan yang dibayar dari wang milik penyanyi popular itu, mereka sekeluarga menerima pelbagai ugutan dengan kata-kata yang kesat sehinggakan ada yang menginginkan kematian berlaku kepada mereka.
Tampil mempertahankan diri, adik bongsu Britney Spears, Jamie Lynn Spears yang turut terkena tempias kerana dikatakan hanya senyap dan tidak bersuara untuk kakaknya memohon agar ugutan yang diterima dihentikan segera. Dalam satu hantaran di Insta-story baru-baru ini dia berkata, “Hi, saya menghormati hak setiap orang untuk bersuara. Tetapi bolehkah berhenti menghantar ugutan bunuh terutama sekali ugutan yang melibatkan kanak-kanak.”
Setelah lama tidak memberikan sebarang kenyataan mengenai kes itu, dia akhirnya membuka mulut tentang apa yang terjadi kepada kakaknya. Ibu kepada dua cahayamata ini telah dilaporkan menjadi satu-satunya ahli keluarga Britney yang tidak menerima sebarang gaji yang dibayar dari aset milik diva pop tersebut.
Kongsinya, “Saya rasa kakak saya boleh bercakap untuk dirinya sendiri dan luahkan apa yang dia rasa secara umum. Itu bukanlah hak saya untuk bercakap bagi pihaknya dan itu bukan perkara yang betul untuk dilakukan. Tetapi sekarang melihat keterbukaan dan kenyataan yang jelas dari mulutnya sendiri, saya merasakan yang saya boleh mengikut jejak langkahnya yang saya juga boleh meluahkan apa yang saya rasa.”
Wanita berusia 30 tahun ini sebenarnya sudah bergelar anak seni sejak kecil lagi. Bermula dengan lakonan bersama kakaknya dalam filem Crossroads dan kemudian mendapat slot drama bersiri Zoey 101 di Nickelodeon, popularitinya meningkat sebagai pelakon. Namun segala-galanya terhenti apabila dia disahkan mengandung pada usia 16 tahun dan kontraknya bersama siri tersebut dibatalkan. Kini dia kembali aktif dan dalam perkembangan terbaru, dia sedang membintangi drama bersiri ‘Sweet Magnolias’ yang disiarkan secara eksklusif di Netflix.
Sumber: People, Perez Hilton
Sumber gambar: People, Instagram Jamie Lynn
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI